fbpx

PM tidak tolak kemungkinan pilihan raya lebih awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (kanan) beramah mesra dengan JR Wanita Bera pada Perjumpaan khas dan Ramah Mesra Petugas JR Wanita di Kompleks Rakan Muda di Bera hari ini. /FOTO ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan lebih awal sebelum tempoh berakhir pada Julai tahun hadapan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua jentera Barisan Nasional (BN) sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi pilihan raya yang boleh dilaksanakan pada masa yang sesuai.

“Saya sudah kata tadi kita kena perlu sentiasa bersedia, pilihan raya paling lewat boleh diadakan adalah Julai (tahun hadapan), lebih kurang setahun sahaja daripada sekarang, setahun tidak lama bagi parti politik untuk mengadakan pilihan raya.

“Jadi kena bersedia, itu kalau paling lewat setahun tetapi pilihan raya mungkin lebih awal daripada tarikh akhir penggal,” katanya pada sidang akhbar selepas Perjumpaan Khas dan Ramah Mesra Petugas Jalinan Rakyat (JR) Wanita Bera bersama Perdana Menteri di Kompleks Rakan Muda di sini hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu lagi, sejak daripada dahulu lagi tarikh pilihan raya umum tidak dibincangkan dikhalayak dan semua jentera perlu sentiasa bersiap siaga.

Katanya, persediaan awal amat penting bagi memastikan jentera pilihan raya terbabit tidak kelam kabut dan dapat bergerak lancar selepas tarikh pilihan raya dimumkan kelak.

“Saya bangga jentera JR Bera ini kerana biasanya dulu JR terdiri wanita UMNO sahaja tetapi di Bera ini kita boleh wujudkan JR daripada Wanita MCA dan juga Wanita MIC, ini pertama kali kita adakan dan sekarang ini tiga sayap wanita bekerjasama gerakkan kajian sikap untuk mendapatkan sikap pengundi,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai Akta Pendanaan Politik, beliau berkata, perkara itu sedang dalam kajian awal dan melalui prosedur yang ditetapkan sebelum dibahas dan diluluskan.

Jelasnya, pada masa ini Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Undang-Undang dibawah Jabatan Perdana Menteri telah diminta membuat kajian terperinci mengenai perkara itu.

“Dari segi prosedur, Jabatan Peguam Negara akan membuat draf dari segi undang-undang dan serahkan kepada kabinet melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang), mereka kena bentangkan kepada Kabinet, selepas Kabinet luluskan baru dibentangkan dalam parlimen untuk dibahaskan dan diluluskan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI