fbpx

Pemberian vaksin Covid-19 PICKids selama 5 hari mulai esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Pemberian vaksin Covid-19 di bawah PICKids akan dibuka selama lima hari bermula esok sehingga 24 Jun bersempena sambutan Minggu Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2022 yang bertemakan Perlindungan Sepanjang Hayat untuk Semua.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, pembukaan vaksinasi tersebut bertujuan meraikan ibu bapa yang kini berhasrat mendapatkan vaksin Covid-19 bagi anak-anak yang terlepas peluang sebelum ini.

Katanya, pembukaan pemberian vaksin itu juga merupakan tanda keprihatinan Kementerian Kesihatan (KKM) atas keselamatan kanak-kanak daripada penyakit cegahan vaksin.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi kanak-kanak yang telah berusia lima hingga 11 tahun akan dibuka selama lima hari mulai 20 hingga 24 Jun.

“Ibu bapa yang berhasrat mendapatkan vaksinasi boleh mendapatkannya tanpa janji temu di klinik-klinik kesihatan dibawah KKM bagi tempoh yang dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Noor Azmi lagi, pemberian vaksin adalah berdasarkan kepada stoknya di sesebuah fasiliti pada hari tersebut dan sekiranya ia habis bagi hari berkenaan, ibu bapa perlu membawa anak pada keesokan harinya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ibu bapa yang baru mengetahui mengenai vaksinasi Covid-19 atau baru membuat keputusan membenarkan anak divaksinasi digalakkan untuk mengambil peluang tersebut.

Tambahnya, bagi kanak-kanak yang akan mencapai umur lima tahun, ibu bapa masih boleh membuat tempahan janji temu vaksinasi mengikut tarikh dan tempat vaksinasi pilihan melalui aplikasi MySejahtera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI