fbpx

Tiket konsert Wings laris, habis dijual dalam 15 minit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WINGS akan melangsungkan sebuah konsert di Dewan Philharmonik Petronas (DFP) pada 15 Julai depan.

PETALING JAYA – Kumpulan rock Wings mencipta sejarah tersendiri apabila jualan tiket konsert di Dewan Filhamonik Petronas (DFP) yang bakal berlangsung pada 15 Julai depan habis dijual dalam tempoh 15 minit.

Sebanyak 850 tempat duduk di dalam panggung berprestij membabitkan tiket berharga RM250 hingga RM650 langsai ditempah peminat tegar grup ikonik itu dalam jangka masa singkat.

Vokalisnya, Awie atau Datuk Azhar Othman mengakui perasaannya bercampur baur sebaik dimaklumkan tiket disambar peminat dalam tempoh terlalu singkat sekali gus melakar sejarah peribadi buat mereka.

“Syukur, itu saja yang mampu saya ucapkan. Tak tahu nak cakap apa sebab ini antara rasa terperanjat, sebak, terharu dan gembira. Jadi sejarah dalam hidup kami, Wings.

“Terima kasih kepada penyokong Wings yang tak henti bagi sokongan. Sudah tentu saya gembira yang melampau. Tak terbayang macam mana 15 minit tiket di DFP ini boleh habis!

“Bagi saya senario begini sangat sihat yang menunjukkan kebangkitan arena muzik. Insya-Allah kami jadikan persembahan ini menarik menerusi pemilihan lagu,” katanya kepada Kosmo! Online.

Band ikonik yang kekal ampuh sejak melakar nama di pentas hiburan pada 1987 itu bakal menggegarkan DFP dengan repertoir malar segar menerusi Konsert Fabulous Friday.

Wings merupakan artis buka panggung bagi acara anjuran Shiraz Project tersebut yang dijadualkan diadakan setiap bulan dengan pemilihan selebriti tempatan dan luar negara.

Pastinya portfolio sedia ada sebagai kumpulan rock lagenda ditambah prestij panggung gah dapat membuka peluang kepada khalayak menyaksikan sebuah persembahan berbeza dan ‘enhance’ daripada Wings.

Vokal bertenaga Awie atau Datuk Azhar Othman tentu saja disempurnakan lagi dengan gandingan melodi bersama rakan seperjuangan lain termasuk Black, Eddie, Sham dan Edrie Hashim.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, pihaknya sudah menjangkakan sokongan ramai terhadap Wings namun tidak menyangka semua tiket disambar dalam tempoh 15 minit.

“Sejujurnya saya memang menjangkakan bahawa tiket akan habis terjual melihatkan semangat peminat muzik tanah air terhadap beberapa konsert yang diadakan sekarang.

“Tetapi saya tidak menyangka sebaik jualan dibuka pada pukul 10 pagi, 15 minit saja terus habis dan ini merupakan tanda industri muzik tempatan berkembang sihat selepas melalui cabaran berdepan impak pandemik.

“Terima kasih atas kesetiaan peminat, Sayap-sayap Wings yang sentiasa mengikuti perjalanan muzik dan persembahan mega kumpulan rock kesayangan ramai ini,” katanya lagi.

Shirazdeen turut meluahkan rasa bertuah dapat menjalin kerjasama dengan sebuah band tersohor yang sentiasa memberikan komitmen penuh terhadap tanggungjawab mereka.

“Adalah satu penghormatan dan keterujaan buat kami untuk berkolaborasi bersama mereka dalam merealisasikan sebuah persembahan dengan aura berbeza di DFP.

“Kesungguhan Wings dalam memastikan perjalanan konsert ini juga sangat luar biasa apabila memberikan sepenuh komitmen termasuk membabitkan kerja promosi.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama lagi dengan mereka serta penyanyi tempatan lain dalam merealisasikan persembahan terbaik yang kekal dalam lipatan sejarah.

“Wings sudah menakluk banyak lokasi dengan rangkaian seleksi yang terus menjadi siulan hingga kini dan sudah pasti persembahan di panggung DFP antara yang ditunggu-tunggu ramai,” katanya.

Pada masa sama, dia memaklumkan pihaknya bakal membuat satu pengumuman khas dalam masa terdekat berhubung acara berkenaan.

Konsert Fabulous Friday Wings yang meraih sokongan MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) itu dijadualkan bermula pada pukul 8.30 malam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI