fbpx

Kerjasama Nafas, Angkasa stabilkan bekalan dan harga ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) ketika bertemu dengan Ahli Jemaah Pengarah Nafas dan Anggota Lembaga Angkasa bagi membincangkan mengenai langkah-langkah menjamin sekuriti makanan negara pagi tadi. - Foto IHSAN PMO

PUTRAJAYA – Kerajaan menyambut baik inisiatif Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) untuk terlibat secara signifikan dalam industri ternakan ayam.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif itu selaras dengan saranan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang mahu kerjasama awam dan swasta diperkukuh bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya industri ternakan ayam.

“Nafas dan Angkasa akan terlibat dalam ekosistem industri ayam bermula daripada anak ayam, makanan ternakan, vaksin, reban, pusat pemprosesan, bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran serta pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna.

“Nafas turut menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor ayam setahun manakala Angkasa sebanyak 30 juta ekor ayam setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri bertemu Ahli Jemaah Pengarah Nafas dan Anggota Lembaga Angkasa bagi membincangkan mengenai langkah-langkah menjamin sekuriti makanan negara pagi tadi.

Menurut Ismail Sabri, Nafas dan Angkasa juga akan lebih proaktif dalam industri penanaman jagung bijirin bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk ayam.

“Bagi tujuan itu, Nafas telah mengenalpasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tanaman tembakau untuk tanaman jagung bijirin.

“Angkasa mengenal pasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di mana setiap hektar mampu mengeluarkan lima tan jagung bijirin dan menampung 20 peratus daripada keperluan import jagung bijirin dalam tempoh lima tahun ini,” katanya.

Tambahnya, usaha berskala besar itu diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap jagung bijirin bagi kegunaan makanan ayam. Beliau yakin Nafas serta Angkasa berupaya membantu menangani masalah kenaikan harga ayam juga bekalan makanan.

“Ini kerana Nafas mempunyai seramai 1 juta ahli, manakala 7 juta ahli bernaung di bawah Angkasa melalui 14,835 koperasi malah Angkasa juga telah diminta untuk menerajui sektor koperasi dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup.

“Langkah proaktif Nafas dan Angkasa ini juga dilihat mampu menstabilkan bekalan dan harga ayam di pasaran bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI