fbpx

Kerat: Lelaki didakwa bunuh ibu kandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NG YU LIM (depan) didakwa di Mahkamah Majistret Parit Buntar hari ini atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya di Taman Kerian, Parit Buntar bulan lalu.

PARIT BUNTAR – Lelaki yang dipercayai mengerat tubuh ibu kandungnya kepada 15 bahagian dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh wanita tersebut, bulan lalu.

Tertuduh, Ng Yu Lim, 42, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Yu Lim didakwa membunuh Ong Suan Bee, 68, di sebuah rumah di Taman Kerian, Parit Buntar antara pukul 2.30 hingga 3 pagi, pada 26 Mei 2022.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Yan Ni manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhammad Syaiful Akmal menetapkan 27 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan.

Media pada 5 Mei lalu melaporkan, seorang wanita warga emas berusia 68 tahun yang dilaporkan hilang oleh anak perempuannya sejak 28 Mei lalu ditemukan mati dengan tubuhnya dikerat kepada 15 bahagian.

Kes pembunuhan kejam warga emas itu terbongkar selepas jiran mangsa terhidu bau busuk luar biasa dari rumah wanita itu sebelum melaporkan kepada pihak polis.

Pemeriksaan di lokasi telah menemukan bahagian tubuh manusia yang dikerat dan disimpan dalam lubang tangki kumbahan dengan ditutup papan lapis, di bahagian belakang rumah.

Ekoran penemuan tersebut, anak lelaki mangsa yang tinggal bersamanya ditahan untuk siasatan lanjut.

Semakan mendapati suspek pernah mendapat rawatan sakit mental di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang, 20 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI