LONDON – Seorang lelaki dari Britain memecahkan Guinness World Records apabila berjaya mengangkat beban seberat 129.5 kilogram (kg) menggunakan hanya satu jari, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Ahli seni mempertahankan diri, Steve Keeler, 48, berjaya memecahkan rekod dunia itu yang sebelum ini bertahan selama 10 tahun.
Dia melakukan percubaan itu di Kent pada Februari lalu dan berjaya mengangkat beban 129.5 kg menggunakan jari tengah tangan kanannya.
Rekod itu disahkan secara rasmi oleh Guinness World Record yang menyiarkannya di laman web rasmi mereka.
Percubaan Keeler melibatkan enam cakera besi dengan dua daripadanya seberat 10 kg dan 20 kg setiap satu, tiga lagi seberat 25 kg setiap satu dan satu lagi seberat lebih 26 kg.
Cakera besi itu disusun bertindan pada satu cangkuk yang digunakan Keeler untuk melengkapkan percubaan rekod dunianya.
“Ia amat menyakitkan tetapi jari saya amat kuat dan saya berasa bangga dengan keupayaan daya angkat saya,” kata Keeler kepada Guinness World Records.
Menurut laman web organisasi penyimpan rekod berkenaan, Keeler telah menjalani latihan kekuatan sejak empat tahun lalu. Lelaki itu juga merupakan pengamal seni tempur judo dan karate sejak berusia 18 tahun yang menjadi kelebihan untuk dia memecahkan rekod dunia tersebut.
Rekod dunia itu sebelum ini dipegang selama sepuluh tahun oleh Benik Israyelyan dari Armenia yang mengangkat beban 116.90 kg menggunakan jari tengah kanannya pada 2011. – Agensi