fbpx

Kes Covid-19 di Indonesia meningkat, Jokowi minta waspada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG wanita menerima dos penggalak vaksin Pfizer di Jakarta pada 29 Mac lalu. - AFP

JAKARTA – Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengingatkan rakyat Indonesia supaya segera mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 berikutan peningkatan kes yang berlaku selepas sam­butan Hari Raya Aidilfitri, lapor laman berita Merdeka.com semalam.

“Saya minta rakyat berwaspada kerana berlaku sedikit peningkatan kes dalam tiga minggu atau sebulan lalu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Oleh itu, saya tekankan kembali kepentingan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak. Kita akan terus menjalankannya,” kata Jokowi ketika ditemui di Taman Kanak-Kanak Rumpin, daerah Bogor, Jawa Barat.

Beliau berkata, peningkatan kes Covid-19 di Indonesia setakat ini masih terkawal. Kadar positif koronavirus masih di bawah had Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 1.03 peratus.

“Kadar penularan juga masih terkawal. Jumlahnya 20 bagi setiap 100 ribu kes seminggu. Namun, kewaspadaan itu penting,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Indonesia memaklumkan bahawa dos penggalak boleh meningkatkan imuniti sehingga dua kali ganda berbanding dos kedua.

“Vaksin penggalak diperlukan untuk melindungi warga tua dan kelompok masyarakat rentan atau komorbid daripada penularan Covid-19,” jelas Jokowi.

Susulan itu, Koordinator Pasukan Pakar dan Jurucakap Pemerintah Pengendalian Covid-19, Wiku Adisasmito turut melaporkan mengenai peningkatan jumlah kes Covid-19 di Indonesia.

“Jika dilihat daripada carta mingguan kes positif, terdapat peningkatan sebanyak 571 kes atau 31 peratus sejak pada 22 Mei 2022. Iaitu daripada 1,814 kepada 2,385 kes mingguan,” kata beliau. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI