TANYA sahaja mana-mana kaki pancing tentang kos yang mereka keluarkan untuk melunaskan hobi tersebut, pasti akan ada yang memberi jawapan yang jumlahnya amat banyak dan sudah tidak terkira.
Ini kerana, mereka bukan saja akan rela melaburkan duit poket untuk membeli peralatan memancing yang bersesuaian, malah turut bersedia mengeluarkan perbelanjaan besar bagi menyewa bot dan sebagainya.
Itulah juga yang dialami oleh seorang kaki pancing, Faiq Amiruddin Zailan, 24, setelah dia menjadikan aktiviti memancing sebagai hobinya sejak berusia 12 tahun.
Kongsi Faiq yang berasal dari Balok, Kuantan, Pahang, sejak berjinak-jinak dengan hobi berkenaan, sudah banyak duit poket dikeluarkan untuk membeli peralatan yang bersesuaian.
“Dulu masa saya kerap memancing ikan darat, tidak banyak sangat peralatan yang perlu dibeli kerana jika sudah memiliki satu set alat memancing, ia sudah mencukupi.
“Tetapi kini, apabila saya mula aktif memancing di laut dan sungai menggunakan pelbagai teknik, saya perlu membeli macam-macam peralatan berbeza untuk disesuaikan dengan gaya memancing,” jelasnya.
Dia yang kini bekerja sebagai kontraktor di sebuah kilang di Gebeng, Kuantan berkata, antara teknik yang digemarinya adalah casting, jigging dan landbase jigging.
Bercerita lanjut, Faiq berkata, kebiasaannya dia akan pergi memancing di perairan laut Kuantan dan Kemaman di Terengganu dengan menyewa bot bersama rakan-rakannya untuk memburu beberapa jenis ikan yang mendiami kawasan dasar dan permukaan laut.

Terangnya lagi, sekiranya banyak jenis ikan yang bermain di permukaan air seperti tenggiri, dia akan menggunakan set memancing teknik casting untuk memburu ikan pemangsa berkenaan.
Sementara itu, jika banyak ikan dasar yang menyambar umpan, dia akan mengeluarkan set jigging yang sudah sedia dibawa dengan umpan tiruan pelbagai saiz antara 60 gram (g) hingga 120g.
Ia dipadankan dengan tali utama bersaiz 45 paun dan disambung dengan tali ‘leader’ 30 paun bagi memastikan tali tidak putus ketika direntap ikan bersaiz besar.
“Kedua-dua teknik ini menggunakan set pancing yang berbeza, itu belum termasuk set mesin dan tali yang berlainan saiz serta set umpan tiruan yang juga perlu disediakan dalam pelbagai saiz, warna dan bentuk bagi menarik minat ikan untuk membaham umpan.
“Bagi menyediakan set memancing ini, sudah tentu menelan belanja yang bukan sedikit kerana sebagai kaki pancing, saya akan terus membeli peralatan-peralatan baharu khususnya umpan tiruan dari semasa ke semasa.
“Itu belum dikira kos menyewa bot bernilai ratusan ringgit yang perlu saya keluarkan setiap kali menyertai trip memancing di tengah laut,” katanya.
Mengulas mengenai aktiviti memancing di laut itu, Faiq berkata, dia lebih gemar memancing di atas bot menggunakan teknik jigging kerana ia memberi lebih kepuasan kepadanya.
Jelasnya, ketika tangan dihayun ke atas dan ke bawah dengan laju bagi menggerakkan umpan tiruan yang diturunkan hingga ke dasar laut, adrenalinnya akan deras mengalir terutama sewaktu umpan diragut ikan.
“Ketika umpan dibaham ikan secara kasar dengan tiba-tiba, ketika itulah kepuasan akan terasa dan hati mula berdebar-debar untuk menggulung tali bagi melawan kekuatan ikan.
“Malah, kepuasan akan lebih terasa apabila ikan yang dipancing akhirnya tewas dan dapat dinaikkan ke atas bot dengan selamat walaupun terpaksa berhempas pulas selama beberapa minit,” jelasnya.

PELBAGAI ikan dapat ditawan setiap kali keluar memancing.
Kata Faiq, dia lazimnya turun ke laut untuk memancing ikan bersama rakan-rakannya sebulan sekali.
Spesies ikan yang biasa dinaikkan menggunakan teknik casting dan jigging pula ialah tenggiri, gerepoh (giant travelly), gerong, kerapu, merah dan beberapa spesies lain yang mendiami kawasan unjam, karang asli dan karang tiruan.
Tambahnya, walaupun terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk melunaskan hobinya itu, namun dia tidak pernah menyesal.
Malah ujarnya, dia akan terus berbelanja untuk membeli peralatan memancing bersesuaian dan terkini bagi mencapai kepuasan ketika beraksi menawan ikan buruan.















