fbpx

Rumah Bonda saman Jabatan Kebajikan Masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai penguat kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat bertindak menyita Rumah Bonda pada Julai tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur, atau Rumah Bonda memfailkan saman terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) bagi memohon permohonan rumah perlindungan itu dibuka semula.

Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur melalui pengerusinya Siti Bainun selaku plaintif memfailkan saman pemula itu di Mahkamah Majistret di sini melalui firma guaman, Tetuan Asiah Abd. Jalil Chambers pada 7 Jun lalu dengan menamakan Pengarah JKMWPKL sebagai defendan tunggal.

Sesalinan dokumen terbabit diperolehi media hari ini dan kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 22 Jun ini.

Berdasarkan afidavit Siti Bainun, Pertubuhan Rumah Bonda ditubuhkan pada 31 Januari 2019 dan pada mulanya beroperasi di Laman Residen, Kipark Seri Utara sebelum berpindah ke Taman Setapak pada 27 Oktober 2020.

Di alamat terbaharu itu, rumah perlindungan yang dikenali dengan nama Rumah Bonda telah diwujudkan dan sepanjang rumah perlindungan itu beroperasi ia telah berada bawah pengawasan dan pemantauan JKMWPKL.

Antara fungsi Rumah Bonda ialah memberi tempat perlindungan kepada remaja dan wanita yang hamil luar nikah, remaja dan wanita teraniaya, terlibat dengan gejala sosial dan perlindungan sementara kepada bayi yang dilahirkan luar nikah dan kanak-kanak yang sedang menjalani kes mahkamah.

“Sejak penubuhannya, Rumah Bonda telah menepatkan 62 orang remaja dan wanita hamil serta seramai 50 orang bayi telah dibantu untuk dilahirkan di hospital secara selamat. JKMWPKL melalui perintah mahkamah juga ada menghantar kanak-kanak tanpa waris dan remaja yang hamil luar nikah.

“Kakitangan JKMWPKL termasuk Pegawai-Pegawai Pelindung JKM sememangnya mengenali saya dan sering berurusan dengan saya mengenai hal ehwal penjagaan dan perlindungan wanita serta kanak-kanak yang menjadi penghuni Rumah Bonda,” kata Siti Bainun dalam afidavit tersebut.

Bagaimanapun, pada 9 Julai 2021, Siti Bainun menyatakan dia telah menerima Notis Lak (Penutupan) daripada JKMWPKL yang memaklumkan bahawa Rumah Bonda di Taman Setapak akan ditutup mengikut Seksyen 16(1) Akta Pusat Jagaan 1993.

Siti Bainun mendakwa tindakan Lak yang dibuat atas alasan Rumah Bonda tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan adalah tidak berasas, tidak adil dan tidak mengikut proses pentadbiran kerana pada sepanjang JKMWPKL mengetahui Rumah Bonda dalam proses pendaftaran.

Pada 20 Ogos dan 2021, Siti Bainun didakwa telah menganiaya dan mengabaikan seorang remaja perempuan Sindrom Down yang berlaku di Kondo Irama Wangsa, Wangsa Maju di sini yang juga merupakan rumah kediaman wanita itu.

Kemudian pada 20 April lalu, Rumah Bonda telah menerima notis tawaran kompaun berjumlah RM5,000 daripada JKM WPKL mengikut Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994 (Pengkompaunan Kesalahan) di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993. Bayaran kompaun tersebut telah dilunaskan pada 25 April lalu.

Bagaimanapun, Pegawai Penguatkuasa JKM WPKL telah memaklumkan kepada Siti Bainun walaupun kompaun telah dibayar, Rumah Bonda hanya boleh dibuka semula atas perintah mahkamah sahaja.

Disebabkan perintah penutupan itu masih lagi berkuatkuasa, Siti Bainun mendakwa pihaknya tidak boleh menjalankan kerja-kerja amal yang lain seperti penyediaan makanan bagi gelandangan dan pusat bank makanan.

“Rumah Bonda juga telah dituduh oleh masyarakat telah menyalahgunakan wang sumbangan dan menyimpan barang-barang peribadi bekas penghuni secara salah sedangkan premis terbabit telah dikunci oleh JKMWPKL dan tidak boleh diakses oleh ssesiapa,” kata Siti Bainun yang turut memberitahu dia masih perlu membayar sewa RM2,800 sejak ia ditutup hingga sekarang.

Oleh itu, plaintif memohon agar mahkamah memerintahkan JKMWPKL untuk menanggalkan Lak yang dibuat pada 12 Julai 2021.

Siti Bainun juga memohon agar Rumah Bonda dibenarkan beroperasi di Taman Setapak di sini dan digunakan untuk lain-lain tujuan selain sebagai pusat jagaan. Turut dimohon ialah perintah dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI