fbpx

Hukuman mati masih ada, tetapi tidak mandatori – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perdana Menteri beramah mesra dengan masyarakat Orang Asli pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-23 Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (Poasm) di Bera hari ini.

BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan pemansuhan hukuman mati mandatori bukan bermaksud tiada lagi pelaksanaan hukuman mati dalam sistem keadilan jenayah negara.

Beliau sebaliknya berkata, hukuman mati tetap dilaksanakan cuma tiada lagi mandatori bagi memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.

Ia juga katanya, bagi memberi peluang kedua kepada pesalah atas budi bicara hakim kepada mereka yang dirasakan layak.

“Mesyuarat Kabinet minggu lalu kita dapat laporan jawatankuasa berkaitan untuk melihat cadangan hukuman mandatori dipinda. Hukuman mati tidak dimansuh kena faham ia masih kekal ada, tetapi mandatori ditukar kepada budi bicara.

“Sebagai contoh Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB), hakim tiada pilihan terikat mesti jatuhkan hukuman mandotari sedangkan kadang-kadang melibatkan anak-anak muda umur 18 tahun, hakim mungkin punya pandangan anak muda ini teraniaya ada dadah dalam beg, tetapi tidak dapat buktikan siapa yang bagi.

“Akhirnya hakim tiada pilihan perlu jatuhkan hukuman gantung sampai mati mandotari walaupun hakim anggap budak muda ini patut diberikan peluang untuk hidup dan boleh berubah

“Jadi kita berpandangan, setiap manusia perlu diberi peluang kedua, jadi hakim ada dua pilhan kalau dia rasa itu memang penjenayah tegar, mengedar dadah menyebabkan ribuan orang mati, boleh dijatuhkan hukuman mati dan kalau ikut budi bicara hendak beri hukuman seumur hidup dengan sebat sekali, jadi dia boleh pinda hukuman mandatori kepada hukuman lebih ringan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-23 Persatuan Orang Asli Semenanjang Malaysia (Poasm) di sini hari ini.

Kerajaan semalam bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah sebagai usaha menambah baik sistem keadilan jenayah negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipetik berkata, keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lalu.

Wan Junaidi berkata, kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI