fbpx

Tunku Ismail masih pemilik JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih kekal sebagai pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan memegang saham majoriti biarpun mengumumkan mengundur diri daripada pengurusan kelab.

Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards berkata, Tunku Ismail hanya akan melepaskan tugas berkaitan hal-hal bola sepak dan teknikal kepada Pengurusan JDT.

Beliau berkata, sebagai pemilik kelab, Tunku Ismail akan terus memantau perkara-perkara berkaitan infrastruktur, komersial dan kewangan kelab.

“Ini bermakna Tunku Ismail tidak akan lagi terlibat secara menyeluruh dalam aspek seperti perpindahan pemain, perbincangan pasukan, perkara harian berkaitan pasukan, aktiviti-aktiviti pasukan, perbincangan kontrak dan sebagainya, yang mana menjadi sebahagian daripada tugas Tunku Ismail di kelab sebelum ini.

“Perkembangan terbaru ini juga bermakna Baginda tidak akan lagi kerap berada di Pusat Latihan JDT atau Stadium Sultan Ibrahim untuk perlawanan dan sesi latihan, sesuatu yang Baginda sentiasa mengambil sedikit masa daripada jadualnya untuk berkunjung,” katanya menerusi hantaran di Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

Edwards berkata, Tunku Ismail telah terlibat secara aktif dalam urusan harian pengurusan JDT sepenuhnya sejak penubuhan kelab pada 2013.

Katanya, ia termasuk dalam memberikan sentuhan peribadi kepada para pemain, jurulatih dan pegawai kelab.

“Kami memahami bahawa Baginda perlu fokus kepada komitmen lain seperti hal-hal berkaitan Negeri dan Pengurusan JDT terharu kerana telah diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab kelab ini,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN