fbpx

Dua sekolah Malaysia disenarai pendek Anugerah Sekolah Terbaik Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SMK Kampong Jawa

PETALING JAYA – Dua Sekolah Amanah Malaysia disenarai pendek sebagai 10 teratas bagi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai USD250,000 (RM1.1 juta).

Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang di Kuantan, Pahang tercalon bagi kategori Inovasi, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Jawa di Klang, Selangor bagi kategori Menangani Cabaran.

Tiga lagi kategori adalah Cabaran Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar dan Menyokong Kehidupan Sihat.

Anugerah Sekolah Terbaik Dunia itu dilancarkan oleh T4 Education dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Templeton World Charity Foundation, Accenture dan American Express pada tahun ini.

Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bertujuan meraikan sekolah yang memainkan peranan penting dalam membangunkan generasi masa depan dan memberi sumbangan besar terhadap kemajuan masyarakat terutama semasa pandemik Covid-19.

Para pemenang akan diumumkan pada Oktober 2022 di World Education Week dan setiap pemenang akan menerima AS$50,000.

Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari berkata, para finalis contoh terbaik sekolah yang mantap dengan kisah kejayaan yang memberi inspirasi.

“Kami amat berbangga kerana dua buah Sekolah Amanah Malaysia antara yang tersenarai membuktikan bahawa sekolah awam mampu menjadi antara yang terbaik di dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengasas T4 Education dan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia, Vikas Pota pula berkata, sekolah disenarai pendek tersebut dipilih menerusi penceritaan kisah-kisah inspirasi sekolah yang mengubah kehidupan murid, membawa perubahan kepada komuniti serta menjadi sekolah contoh.

“Saya mengucapkan sekalung tahniah kepada SK Kempadang dan SMK Kampong Jawa atas kejayaan disenarai pendek dalam 10 teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang julung kali diadakan.

“Kini para pendidik di seluruh dunia akan dapat belajar daripada sekolah-sekolah Malaysia yang cemerlang ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN