fbpx

Krisis makanan: Mengoptimumkan penggunaan teknologi pertanian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

UMUM mengetahui bahawa salah satu sektor yang paling terkesan dek pandemik Covid-19 ialah sektor ekonomi.

Meskipun begitu, di sebalik kejayaan negara kita memasuki fasa peralihan endemik, salah satu akibat tidak disengajakan (unintended effect) yang sedang dirasakan oleh rakyat kebanyakan ialah kenaikan harga barang atau lebih dikenali sebagai inflasi.

Untuk rekod, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar inflasi negara pada April 2022 telah meningkat 2.3 peratus berbanding April 2021. Kenaikan telah didorong sebahagian besarnya oleh kenaikan dalam kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (4.1 peratus) ini juga telah melepasi purata inflasi negara bagi tempoh 2011 hingga April 2022 iaitu 1.9 peratus.

Selain itu, pada Mac lalu, dunia juga terpaksa berhadapan krisis makanan yang meruncing sejak berdekad lamanya berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Untuk konteks ini, Rusia merupakan pengeluar utama baja yang diperlukan untuk menanam bijirin.

Rentetan pencerobohan ini juga, Ukraine tidak lagi dapat mengeksport jagung dan bijirin yang merupakan komponen utama makanan ayam.

Hasilnya, rakyat Malaysia telah menyaksikan harga ayam melonjak setinggi RM15 sekilogram meskipun pihak kerajaan telah menetapkan harga siling jualan sebanyak RM8.90.

Kenaikan berterusan dalam inflasi harga makanan ini juga telah menjejaskan kuasa beli dan pendapatan M40 dan B40 yang masih bergelut dengan kesan pandemik Covid-19.

Justeru, sebagai langkah jangka masa pendek, mulai 1 Jun, negara kita telah mengurangkan eksport ayam yang mencecah 3.6 juta ayam setiap bulan demi menstabilkan pengeluaran dan harga domestik.

Pun begitu, sekiranya permasalahan kekurangan bekalan ayam ini disingkap secara holistik, kita bakal menyaksikan permasalahan lebih membarah iaitu masalah struktur industri pertanian Malaysia yang bergantung tinggi kepada makanan import.

Malah, jika kita mengambil kira jumlah besar import makanan kita, pada 2020 sahaja, Malaysia telah mengimport produk makanan sebanyak RM55.5 bilion, berbanding eksport bernilai RM33.8 bilion iaitu defisit sebanyak RM21.7 bilion. Sebagai perbandingan, jumlah defisit ini hampir menyamai peruntukan perbelanjaan mengurus bagi keseluruhan Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2022 iaitu RM28 bilion.

Bahkan, yang lebih membimbangkan, sejak sedekad lalu, jumlah terkumpul import makanan negara ialah sebanyak RM482.8 bilion berbanding eksport (RM296 bilion).

Permasalahan ini juga semakin meruncing dengan kejatuhan nilai ringgit Malaysia. Untuk konteks ini, pada 1 Januari 2022, AS$1 bersamaan RM4.18. Sejak belakangan ini, ringgit telah melemah kepada hampir RM4.40.

Sebagai contoh, seminggu sebelum Rusia menceroboh Ukraine, harga gandum dunia ialah sekitar AS$760.14 (RM3,200.19) per busyel. Kini, harga gandum berlegar sekitar AS$1,000 (RM4,391.50). Disebabkan kejatuhan nilai ringgit, para penternak ayam perlu menyerap kenaikan kos hampir setengah kali ganda untuk mengimport bahan mentah mereka.

Natijahnya, semakin banyak import kita, lebih banyaklah ringgit yang mengalir keluar dari negara ini. Semakin ‘deras’ pengaliran keluar mata wang kita, kedudukan ringgit akhirnya bakal melemah.

Di samping itu, Indeks Keselamatan Makanan Global 2021 oleh The Economist Group meletakkan Malaysia di kedudukan ke-39, jauh di belakang negara-negara seperti Ireland, United Kingdom dan Finland serta negara jiran seberang tambak iaitu Singapura (ke-15).

Bukan itu sahaja, kita juga tewas dengan negara-negara beriklim gersang seperti Qatar (ke-24) dan Kuwait (ke-30).

Sebagai penyelesaian jangka masa sederhana dan panjang, kita harus mengusahakan seluas mungkin tanah daripada ‘bank’ tanah terbiar di negara ini. Menurut Jabatan Pertanian Malaysia, keluasan tanah terbiar di negara ini ialah 1,035.63 kilometer persegi iaitu sebesar negeri Pulau Pinang yang berkeluasan 1,031km persegi.

Justeru, kita memerlukan penggemblengan tenaga dan kerjasama strategik di antara kerajaan persekutuan dan negeri demi memanfaatkan khazanah alam sebesar Pulau Pinang ini.

Selain itu, kita boleh memanfaatkan bangunan terbiar bagi menanam pelbagai jenis tanaman makanan terutamanya sayur-sayuran.

Sudah tiba masanya kita mengoptimumkan penggunaan teknologi pertanian seperti pertanian pintar (smart farming), pertanian jitu (precision farming) dan pertanian menegak (vertical farming) yang dipacu oleh Internet of things (IoT), data raya (big data) dan kecerdasan buatan (artificial intelligence).

Selain itu, kita juga perlu mengatasi antara permasalahan terbesar dalam industri pertanian negara iaitu kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan kadar penglibatan golongan belia yang rendah iaitu hanya 15 peratus daripada 1.4 juta belia di negara ini.

Jadi, kita memerlukan sebuah pelan pelaksanaan komprehensif bagi melakukan kerjasama sinergistik di antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dan

Kementerian Belia dan Sukan dalam merangka program latihan dan membangunkan insentif kewangan bersasar demi membantu menarik minat usahawan tani muda melibatkan diri dalam sektor pertanian.

Melalui usaha ini, kita bakal merancakkan pengeluaran makanan tempatan, menjamin keselamatan makanan, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sekali gus memperlahan kesan pemanasan global.

Dr. Mohd. Zaidi Md. Zabri ialah pensyarah kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI