fbpx
DI pusat ini, anak-anak autisme dapat melakukan pelbagai aktiviti perkebunan.

Belajar tanpa sedar dengan bercucuk tanam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAIK saja kaki melangkah masuk ke pekarangan Pusat Intervensi Autisme Persatuan Kebangsaan Austisme Malaysia (NASOM) yang terletak di Taman Selamat, Kuantan, Pahang, mata pasti tertarik dengan pemandangan menghijau di sekeliling pusat berkenaan. Pelbagai tumbuhan hijau memenuhi persekitaran pusat terbabit.

Bukan saja pokok bunga hiasan, malah terdapat juga pelbagai tanaman sayuran, ulaman dan herba yang ditanam menggunakan kaedah akuaponik dan hidroponik.

Di laman belakang pula, terdapat satu bilik kecil yang menempatkan beribu bongkah cendawan tiram yang tersusun rapi di atas rak khas.

Kebun sayuran moden itu sebenarnya projek terbaharu yang dilaksanakan NASOM Kuantan sebagai aktiviti sampingan kepada kira-kira 60 kanak-kanak autistik di pusat intervensi berkenaan.

Melalui projek kebun mini itu, anak-anak yang mengalami masalah autisme itu diberi pendedahan menanam dan mengurus tanaman sayuran seperti bayam brazil, pegaga, cili, lidah buaya, cendawan tiram dan pelbagai lagi.

Di situ mereka diberi peluang untuk bermain dengan tanah, meletakkan benih dalam bekas semaian, menyiram dan bila tiba masanya, mereka juga akan memetik sayur-sayuran yang ada.

Setiap pelajar akan meluangkan masa 30 minit atau sejam melakukan aktiviti berkebun yang dilakukan secara bergilir-gilir dengan dibimbing oleh guru masing-masing.

Setiap lima orang pelajar akan diawasi dua guru bagi memastikan aktiviti yang dilakukan itu berjalan dengan lancar dan selamat.

Bak kata orang, berbakti pada tanah pasti ada hasilnya, dan bagi kanak-kanak istimewa ini, hasilnya bukan hanya merujuk kepada tanaman yang dikutip semata-mata bahkan lebih daripada itu.

Di samping memberi kemahiran hidup kepada kanak-kanak autistik mengenai pertanian yang mungkin suatu hari nanti menjadi peluang pekerjaan kepada mereka, aktiviti berkebun yang dilaksanakan itu juga sebenarnya sebagai satu terapi untuk merangsang sensori mereka.

Perubatan mengaitkan autisme dengan Gangguan Pemprosesan Sensori atau Sensory Processing Disorder (SPD) kerana ia kerap berlaku kepada individu autistik sama ada kanak-kanak atau orang dewasa.

SPD merujuk kepada kegagalan satu, sebahagian atau keseluruhan fungsi sensori sehingga menjejaskan tingkah laku atau respons terhadap persekitaran disebabkan maklumat sensori yang dihantar ke otak tidak tepat.

Individu autisme biasanya sukar untuk mengatur, memahami dan mentafsirkan maklumat sensori mereka.

SESETENGAH anak austisme turut berpeluang mengikuti aktiviti di dalam bilik tanaman tiram.

Kajian di luar negara sebelum ini mendapati, SPD dalam kalangan individu autistik mungkin setinggi 90 peratus.

Bagi merawat masalah SPD, Terapi Integrasi Sensori (SIT) dilakukan untuk memulihkan pemprosesan saraf dengan cara meningkatkan keupayaan setiap sistem sensori menerusi aktiviti-aktiviti yang memberi cabaran mencukupi kepada input sensori individu terbabit.

Berkebun adalah antara aktiviti SIT terbaik kerana ia membabitkan hampir semua elemen deria iaitu sentuhan, bau, penglihatan, pendengaran dan proprioseptif (kerja berat) yang mampu merangsang sensori kanak-kanak austime.

Penasihat NASOM Kuantan, Zuairiyah Mohd. Noor berkata, dengan melakukan aktiviti berkebun, pelajar mula menunjukkan perkembangan positif di dalam kelas.

“Sejak projek kebun ini dilaksanakan, kanak-kanak dilihat lebih responsif bila berada dalam kelas dan mereka juga lebih mudah menerima arahan.

“Kemampuan untuk fokus dalam kalangan kanak-kanak autisme sangat terhad dan disebabkan itu, mereka tidak boleh berada lama di dalam kelas. Mereka lebih gemar melakukan aktiviti di luar dan melalui aktiviti bercucuk tanam, mereka sebenarnya melakukan terapi dan belajar tanpa sedar.

“Ketika aktiviti itu, guru banyak bercakap dengan mereka dan benda yang nampak remeh sebenarnya satu proses pembelajaran yang mereka boleh terima tanpa paksaan.

“Apabila mereka belajar untuk menerima arahan ketika berkebun, mereka juga akan boleh menerima arahan ketika di dalam kelas,” katanya ketika ditemui di pusat berkenaan.

Zuairiyah berkata, NASOM Kuantan kini mempunyai dua premis iaitu untuk peringkat awal membabitkan kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun atau dipanggil Program Intervensi Awal (EIP), manakala satu lagi dipanggil Vokasional membabitkan pelajar berusia sembilan hingga 19 tahun.

“Pada mulanya kita hanya membuat projek kraf tie dye serta biskut, namun hasilnya mengejutkan sehingga boleh dijual dan memberi pulangan kepada pelajar semula.

“Kemudian, kita buat projek kebun secara kecil-kecilan dengan menanam pokok bunga hiasan untuk dijual. Namun, melihat kepada potensi yang ada, kita telah menambah baik dengan membuat kebun organik secara akuaponik bermula tahun 2019.

“Bagi memastikan projek itu berjaya, guru telah diberikan latihan mengenai pertanian akuaponik daripada individu yang pakar dalam bidang berkenaan.

“Projek kebun terbabit terus berkembang apabila pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menyumbang kit sistem hidroponik kepada kami,” katanya.

Jelas Zuairiyah, pada tahun 2020, pihaknya meluaskan lagi projek kebun dengan mengusahakan cendawan tiram melalui geran yang diperoleh daripada sebuah syarikat antarabangsa.

Tambahnya, tanaman tiram memberi pulangan lebih lumayan kerana hasilnya lebih cepat berbanding tanaman lain.

“Kami tidak menyangka projek kebun yang pada mulanya untuk aktiviti sampingan kanak-kanak kini mampu menjana pendapatan tambahan kepada pusat ini.

“Walaupun projek tanaman cendawan tiram ini lebih berpotensi, namun kami tidak dedahkannya kepada semua pelajar kerana mengambil kira risiko kesan ke atas pelajar.

“Tidak semua pelajar boleh masuk ke dalam rumah tanaman cendawan, malah tempoh masa aktiviti di situ turut diambil kira kerana kita sangat pentingkan kesihatan dan keselamatan pelajar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN