fbpx

Geng Sedar tumpas dengan penahanan 5 remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amran (tengah) menunjukkan motosikal yang telah dileraikan oleh lima remaja selepas menahan mereka di Kampung Sedar, Tumpat semalam. /FOTO ROSLIZA MOHAMED

TUMPAT – Lima remaja yang merupakan ahli kumpulan yang aktif mencuri motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha 125Z di daerah ini dicekup dalam serbuan yang dijalankan di beberapa lokasi berasingan di Kampung Sedar di sini semalam.

Kesemua suspek dipercayai merupakan ahli Geng Sedar yang berusia dalam lingkungan 17 dan 18 tahun itu masing-masing ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh polis kira-kira pukul 11 malam sehingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai kecurian sebuah motosikal jenis Honda EX5 di Kampung Paloh, Palekbang di sini pada pukul 10 malam kelmarin.

Menurutnya, berdasarkan maklumat itu, polis berjaya menahan seorang remaja berusia 17 tahun bersama sebuah motosikal yang sudah dileraikan di Kampung Sedar di sini.

“Soal siasat terhadap suspek, remaja itu telah membongkar kegiatan yang dilakukan olehnya bersama empat rakan yang lain. Justeru itu, polis menyerbu tiga buah rumah dan menahan empat lagi suspek bersama tiga buah motosikal.

“Berdasarkan maklumat daripada suspek, polis turut menjumpai tiga buah rangka motosikal di dalam tali air di kampung berkenaan dipercayai telah dileraikan oleh mereka ,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM30,000 dan rangka motosikal yang dicuri suspek dipercayai dijual kepada rakan-rakan mereka pada harga yang murah.

Katanya, polis percaya penangkapan lima suspek itu berjaya menyelesaikan enam kes kecurian motosikal di Tumpat yang dilaporkan bermula Mac lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI