SEORANG ibu, Nur Amirah Ahmad berasa runsing apabila anaknya yang bersekolah tadika tiba-tiba diserang demam.
Setelah demam surut, Nur Amirah, 33, menyedari muncul pula biji-biji seakan gelembung air pada bahagian tangan dan kaki anaknya yang berumur enam tahun itu. Wanita itu turut mendapati ada ulser pada bahagian dalam mulut anaknya.
Nur Amirah kemudian pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan anaknya itu disahkan dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
“Doktor yang merawat menyatakan bahawa jangkitan ini tidak berbahaya tetapi anak saya boleh menjangkiti kanak-kanak lain.
“Oleh sebab itu, kami sekeluarga menjalani kuarantin selama lima hari. Sepanjang kuarantin saya hanya menyapu ubat pada biji-biji atau ruam melepuh itu dan mengambil ubat demam,” katanya kepada K2.
Itu antara perkongsian salah seorang ibu yang anaknya dijangkiti HFMD baru-baru ini. HFMD menjadi wabak yang menjadi sebut-sebutan pada masa ini apabila mencatatkan kes yang tinggi.
Mengikut sumber dari Kementerian Kesihatan (KKM), dari bulan Januari 2022 sehingga Mei 2022, sebanyak 31,661 kes penyakit HFMD yang telah dilaporkan berbanding hanya 4,239 kes bagi keseluruhan tahun 2021 sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 15 kali ganda dari tahun sebelumnya.
Realitinya, HFMD bukanlah penyakit baharu di negara ini bahkan pada 2018 lagi, Malaysia sudah mencatatkan peningkatan penyakit ini yang boleh menjangkiti bukan sahaja kanak-kanak, tetapi juga dewasa.

Felo Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman, Institut Jantung Negara, Dr. Iskandar Mirza Amran berkata, HFMD merupakan penyakit yang tidak berbahaya, namun mempunyai kadar keberjangkitan yang sangat tinggi.
Menurutnya, penyakit ini biasanya berlaku kepada kanak-kanak yang berumur kurang daripada 10 tahun.
“Punca jangkitan adalah disebabkan oleh virus daripada kumpulan enterovirus yang tergolong di dalam keluarga picornavirus.
“Secara umumnya, terdapat sebanyak 67 serotypes terdiri daripada serotypes poliovirus, coxsackie, echovirus dan enterovirus. Daripada kumpulan enterovirus ini, majoriti jangkitan HFMD adalah disebabkan oleh coxsackie virus A16 dan enterovirus 71,” terangnya.
Kata Iskandar Mirza, penyakit ini berkait rapat dengan aspek kebersihan, sekali gus menjawab persoalan mengapa penyakit ini lebih lazim dan mudah menjangkiti kanak-kanak.
“Orang dewasa tahu menjaga kebersihan dengan baik seperti basuh tangan sebelum makan dan selepas membuang air besar.
“Kanak-kanak senang dijangkiti apatah lagi jika tiada yang memantau kebersihatan mereka. Tangan pun selalu dalam mulut selain pakai lampin,” jelasnya.
Menurutnya, individu dijangkiti HFMD mempunyai gejala ringan seperti demam, sakit tekak, rasa tidak sihat dan letih. Selain itu, terjadi ruam yang menyakitkan pada lidah, gusi dan di bahagian dalam mulut; ruam melepuh yang tidak gatal di bahagian tangan, kaki dan punggung serta hilang selera makan.
Jelas Iskandar Mirza, lazimnya masa infeksi dari permulaan jangkitan sehingga kanak- kanak mendapat simptom atau period inkubasi adalah dari tiga hingga enam hari.
“Demam merupakan simptom awal penyakit HFMD dan diikuti dengan sakit tekak dan rasa tidak sihat bersama pengurangan selera makan.
“Selepas dua atau tiga hari mendapat demam, ruam menyakitkan akan mula timbul di bahagian depan mulut dan di bahagian tekak. Ruam melepuh di bahagian tangan, kaki dan ada masa di bahagian punggung kanak-kanak pula akan mula terjadi selepas satu atau dua hari,” katanya.

Kebiasaannya, jangkitan ini tersebar melalui kemasukan virus tersebut ke dalam mulut dan ia tersebar kepada kanak-kanak lain melalui cecair hidung iaitu hingus atau tekak, air liur, cecair dari ruam melepuh dan hembusan titisan pernafasan semasa batuk atau bersin.
Walaupun kanak-kanak berpenyakit HFMD mempunyai kadar keberjangkitan yang tinggi pada minggu pertama jangkitan berlaku, virus masih boleh berada di dalam badan kanak-kanak berminggu-minggu selepas simptom reda.
“Ini bermakna, pesakit tersebut masih boleh menjangkiti kanak-kanak lain walaupun mereka sudah tiada simptom HFMD.
“Selepas mendapat jangkitan penyakit ini, kanak-kanak akan mendapat imuniti daripada penghasilan antibodi oleh sistem imuniti badan. Bagaimanapun, orang dewasa masih boleh mendapat HFMD walaupun pernah kena penyakit ini semasa usia kanak-kanak,” jelas Iskandar Mirza.
Tambahnya, beberapa langkah boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko dijangkiti HFMD. Antaranya, mencuci tangan dengan kerap terutama selepas menggunakan tandas, menukar lampin bayi, sebelum menyediakan makanan dan sebelum makan.
“Jika tandas tidak mempunyai sabun, gunakan tisu basah atau gel alkohol yang mempunyai kesan antibakteria.Pastikan tempat berisiko jangkitan kuman ini sentiasa dibersihkan dengan kerap menggunakan cecair pembasmi kuman.
“Selalu ajar anak-anak untuk menjaga kebersihan. Kanak-kanak juga perlu diingatkan sentiasa tidak meletakkan tangan, jari atau objek seperti mainan ke dalam mulut,” katanya.

Tambahnya lagi, anak-anak dijangkiti HFMD perlu diasingkan daripada kanak-kanak lain kerana kadar keberjangkitan mereka adalah sangat tinggi.
Katanya, bagi memudahkan ibu bapa untuk menjaga anak mereka di rumah, kerajaan Malaysia sudah lama menyediakan kemudahan cuti menjaga anak yang dikuarantin selama lima hari.
“Walaupun penyakit HFMD tidak mempunyai rawatan spesifik, beberapa ubat akan diberikan untuk mengurangkan simptom penyakit ini seperti ubat demam dan ubat tahan sakit.
“Jika rawatan tersebut tidak memberi kesan dan keadaan pesakit semakin lemah, sila bawa anak-anak anda berjumpa dengan doktor bagi pemeriksaan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, kerajaan boleh mengenakan peraturan larangan sementara untuk anak-anak berusia kurang 12 tahun dari berada di tempat-tempat awam yang menjadi tumpuan ramai bagi mengurangkan kes HFMD.
“Jangkitan HFMD ini boleh berlaku secara mendadak disebabkan pendedahan kanak-kanak dengan persekitaran berbanding tempoh ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pencemaran daripada bendalir tubuh seperti air liur, hingus, kahak, najis atau tangan individu yang tersentuh bendalir tersebut tetapi tidak dicuci bersih memungkinkan peningkatan kes yang mendadak,” katanya.
Sementara itu, Malina menambah, sekiranya kanak-kanak dijangkiti HFMD tidak dirawat dengan baik, mereka berisiko mendapat komplikasi sawan dan sebahagian juga mungkin mendapat radang jantung, radang paru-paru atau komplikasi pada otak dan sistem saraf pusat.
“Jika ibu bapa tidak prihatin terutama bersifat ala kadar semasa membersihkan anak-anak selepas ke tandas atau ketika menukar lampin, besar kemungkinan tularan boleh berlaku.
“Tahap kebersihan kanak-kanak juga bergantung oleh ibu bapa, penjaga dan keluarga masing-masing,” terangnya.














