fbpx

Perkampungan ‘hantu’ England pikat pelancong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perkampungan Tynahem yang digelar kampung hantu masih kelihatan sama seperti ketika ia dikosongkan pada 1943. - Sabine Davis

LONDON – Perkampungan Tyneham yang terletak di England, diberi jolokan ‘kampung hantu’ selepas penduduknya mengosongkan kawasan tersebut sejak tahun 1943, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.

Semasa Perang Dunia Kedua, Tyneham digunakan oleh askar Amerika Syarikat (AS) untuk latihan ketenteraan.

Kesemua 225 penduduk kampung itu dipindahkan ke lokasi lebih selamat dan sejak itu, suasana perkampungan Tyneham seolah beku dalam peredaran zaman.

Seorang penduduk meninggalkan surat di pintu gereja Tyneham meminta tentera AS agar tidak memusnahkan peninggalan nenek moyang mereka.

“Tolong perlakukan gereja dan rumah kami dengan cermat kerana kami telah menyerahkan rumah kami yang diwarisi selama beberapa generasi untuk membantu memenangi perang.

“Kami akan kembali suatu hari nanti dan terima kasih kerana melayan kampung ini dengan baik,” katanya dalam surat tersebut.

Selepas perang tamat, penduduk Tyneham yang berpindah telah membina kediaman baharu di Wareham yang terletak kira-kira 9.6 kilometer dari lokasi asal.

Namun, ada penduduk yang tidak berpuas hati dan rindu mahu pulang ke kampung halaman mereka sehingga mencetuskan protes menuntut hak untuk kembali ke Tyneham.

Satu siasatan awam ditubuhkan pada tahun 1948 bagi menyelesaikan perkara itu.

Ia memutuskan bahawa perintah pembelian wajib dikeluarkan untuk tanah itu dan Tyneham kekal di bawah pemilikan Kementerian Pertahanan (MoD).

Hari ini, kampung itu masih kosong dengan binaan rumah yang kelihatan masih utuh.

Ia terbuka kepada orang ramai dan menarik pengunjung setiap tahun yang ingin melihat senario kehidupan pada tahun 1943. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI