Banyak kegunaan nanas yang tidak diketahui ramai selain enak dimakan.
Di Pontian, Johor, pokok nanas yang diperoleh dapat menghasilkan benang daripada serat daunnya bagi membuat baju.
Untuk menghasilkan satu kilogram (kg) benang memerlukan kira-kira 100kg daun nanas atau kira-kira 4,000 helai.
Benang serat daun nanas sudah boleh digunakan sebagai bahan untuk menghasilkan pelbagai produk akhir. Antaranya termasuk cenderamata berbentuk sulaman cross-stitch, penanda buku, anyaman motif pada beg tangan, kraf tangan serta motif corak pada songket.
Cenderamata dijual pada harga RM20 hingga RM25 dengan tempahan diterima datang dari jabatan dan agensi kerajaan serta orang perseorangan.
——————————————————————————————————————————————————————————————-
SEKITAR tahun 1971, wanita kelahiran Pontian, Johor itu pernah menyaksikan bagaimana proses menghasilkan benang yang diperbuat daripada serat daun nanas. Pada waktu itu, Munah Abd. Kadir berusia enam tahun dan tidak tahu apa-apa tentang hal pembuatan yang diusahakan arwah neneknya, Allahyarham Hasnah Abd. Manaf.
Setelah usianya menjengah dewasa, ibunya, Rafiah Mat Taib kemudian menceritakan segala yang dibuat neneknya itu. Jelas Munah yang kini sudah berusia 51 tahun, neneknya bahkan telah menghasilkan benang daripada serat daun nanas untuk menghasilkan baju.
“Ketika saya masih kecil, saya tidak ambil kisah apa yang nenek buat, sehinggalah usia saya menjengah 30-an apabila saya ikuti program kraf tangan dan terjumpa ada orang kita yang buat benang menggunakan serat daun nanas.
“Balik ke rumah, saya tanya ibu, rupanya nenek dahulu jual benang dan ada juga buat baju daripada daun nanas. Masa itu saya tak tahu macam mana prosesnya, tapi saya cuma ingat ada melihat nenek gunakan serpihan kaca sebagai alat untuk mengasingkan serat dan lapisan hijau daun nanas.

SERAT-SERAT daun nanas yang dijadikan benang ini kelihatan begitu halus.
“Sejak itulah saya terkenang kembali memori bersama arwah nenek, saya tanya ibu dan dia menceritakan segalanya sehingga menimbulkan rasa minat untuk memanfaatkan tumbuhan tropika itu,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.
Anak keempat daripada enam beradik itu kemudian tidak menoleh ke belakang lagi apabila mengorak langkah mengusahakan bisnes yang kurang diceburi ramai itu menerusi Perniagaan Benang Serat Nanas M & Z sejak Oktober 2010.
Selepas melalui pelbagai fasa dalam bisnes, usaha yang dijalankan ibu tunggal itu mendapat perhatian pelbagai pihak sehinggalah dia dianugerahkan geran untuk membina Galeri Benang Serat Nanas.
Kini, setelah lebih satu dekad berkecimpung dalam dunia seni tradisional ini, Munah tersenyum puas apabila galeri yang dibina di Kampung Rimba Terjun, Pontian itu masih tidak putus-putus dikunjungi pelajar sekolah, universiti serta peminat seni kraf dari seluruh negara.
Menurut Munah, untuk menghasilkan satu kilogram (kg) benang memerlukan kira-kira 100kg daun nanas atau kira-kira 4,000 helai.
Munah memberitahu, proses pemilihan daun tumbuhan tropika dengan nama saintifik Ananas comosus itu ada kaedahnya.
Jelasnya, ada empat jenis daun daripada variety (jenis) nanas yang boleh dijadikan benang iaitu S36, MD2, Josapine dan Gandul.
“Daun-daun daripada jenis nanas ini lebih berkualiti kerana tali seratnya lebih kuat dan tidak mudah putus, selain bekalan daun mudah diperolehi kerana Pontian antara pengeluar terbesar nanas jenis tersebut.

“Dari segi pemilihan daun pula, kita gunakan daun yang sudah matang atau tua iaitu dari pokok yang sudah berbuah atau sudah dipetik. Jika ambil daun muda atau dari pokok belum keluarkan buah, tekstur seratnya tidak berkualiti, lebih mudah putus apabila kita buat proses mengeruk,” katanya.
Munah memberitahu, pada kebiasaannya, dia akan mendapatkan bekalan daun nanas daripada para pekebun nanas yang mengusahakan tanaman tersebut di sekitar Pontian.
Terangnya, usai pemilihan daun dibuat, proses berikutnya adalah mengeringkan daun yang sudah dipetik dengan pengeringan memakan masa dua hari. Dalam tempoh ini, daun-daun dibiarkan kering sendiri pada suhu bilik dan tidak perlu diletakkan di bawah cahaya matahari.
Ini kerana, katanya, menerusi cara itu, proses pengeringan akan lebih sekata dan daun diibaratkan tidak ‘terkejut’ dan terlalu kering.
Seterusnya, kata Munah, langkah dilakukan adalah mengasingkan lapisan hijau daun nanas dan selulosa.Selulosa merupakan sebatian organik dan merupakan kandungan utama dalam serat tumbuhan.
Munah berkata, dalam proses ini, alat pengeruk yang dicipta daripada besi atau kayu akan digunakan.
“Semasa melakukan proses mengeruk, daya gesekan dialurkan di atas helaian daun nanas dengan menggunakan tekanan sederhana agar serat pada daun tidak putus.
“Selepas daun kelihatan seperti bebenang, kita akan tarik serat tersebut secara berhati-hati agar tidak terputus,” katanya.

DAUN-DAUN nanas yang telah dikumpulkan bersedia untuk diproses.
Selesai proses pengasingan itu, serat akan dikeringkan sekali lagi dan proses ini akan mengambil masa satu atau dua hari untuk kering pada suhu bilik.
Lengkap prosedur itu, benang serat daun nanas sudah boleh digunakan sebagai bahan untuk menghasilkan pelbagai produk akhir. Antaranya ialah cenderamata berbentuk sulaman cross-stitch, penanda buku, anyaman motif pada beg tangan, kraf tangan serta motif corak pada songket.
Seperkara yang mungkin kurang diketahui orang ialah benang serat daun nanas sebenarnya bernilai tinggi apabila satu kilogram benang itu mampu mencecah harga RM900 di pasaran. Meskipun harganya mahal, kata Munah, tidak ramai yang mampu menghasilkan benang daripada tumbuhan tropika itu.
Ditanya mengenai pembuatan baju daripada benang daun nanas, dia memberitahu, setakat ini dia belum berkemampuan menghasilkan produk sedemikian termasuk kain samping.
“Harga baju diperbuat daripada benang serat daun nanas boleh mencecahkan sehingga RM5,000 sehelai, manakala samping pula berharga RM1,700, namun saya belum ada cita-cita ke arah itu,” ujarnya.

Munah berkata, buat masa ini dia menjual cenderamata berharga RM20 hingga RM25 dengan tempahan diterima datang dari jabatan dan agensi kerajaan serta orang perseorangan.
Tambahnya, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) juga sememangnya telah berusaha membolehkan orang ramai untuk mengenali benang serat daun nanas dengan menawarkan peluang mengikuti kursus dan pameran.














