fbpx

Wanita menopaus pada usia 10 tahun rindu datang bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CORINNA Bordoli muncul dalam rancangan televisyen This Morning semalam dan bercerita mengenai kehidupannya. - ITV

LONDON – Seorang wanita Britain yang mengalami menopaus ketika baru berusia 10 tahun mendedahkan bahawa dia rindu ingin datang bulan seperti rakan-rakannya yang lain, lapor portal berita MailOnline.

Corinna Bordoli, 26, dari London muncul dalam rancangan televisyen This Morning semalam yang dihoskan oleh Holly Willoughby dan Philip Schofield untuk bercerita mengenai kehidupannya.

Pakar perubatan menopaus, Dr. Louise Newson turut serta dalam temu bual berkenaan. 

Ketika temu bual tersebut, Bordoli berkata, dia terpaksa meninggalkan hobi zaman kanak-kanak iaitu bersukan dan menyanyi disebabkan keadaan kesihatannya. 

“Saya mempunyai pelbagai gejala. Saya adalah seorang penyanyi ketika kanak-kanak. Namun pita suara saya mula menjadi kering dan tidak berfungsi dengan baik.

“Saya banyak mengalami masalah vokal lalu beralih tumpuan kepada aktiviti sukan. Kemudian saya mengalami banyak kecederaan termasuk patah tulang dan sakit sendi ketika hanya berusia 10 tahun,” kata Bordoli.

Bordoli turut bertemu dengan pengamal perubatan am berulang-ulang kali kerana mengalami migrain, kebimbangan, jantung berdebar-debar dan tidak boleh tidur.

“Pengamal perubatan itu hanya berkata bahawa saya adalah seseorang yang matang pada usia yang lebih lewat daripada biasa. Saya belum mengalami haid dan dia berkata bahawa ia normal kerana saya masih membesar,” jelasnya.

Ketika berusia 15 tahun, Bordoli telah dirujuk kepada ahli endokrinologi dan dimaklumkan bahawa ovarinya tidak berfungsi dan akan menjadi mandul.

Tahun lalu, dia telah didiagnosis mengalami kekurangan ovari pramatang (POI).

Newson kemudian menjelaskan bahawa satu daripada 100 wanita mengalami menopaus sebelum berusia 40 tahun dan turut memaklumkan bahawa wanita dengan hormon rendah berisiko mendapat penyakit-penyakit lain. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI