fbpx

Isu pemilikan senjata api di AS seperti tiada noktah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYOKONG kawalan senjata berada di luar ibu pejabat Persatuan Rifle Kebangsaan (NRA) berikutan kejadian tembakan besar-besaran di Sekolah Rendah Robb kelmarin. - AFP

WASHINGTON – Kejadian tembakan di Texas yang meragut nyawa 19 kanak-kanak Selasa lalu telah meningkatkan tekanan kepada wakil rakyat Amerika Syarikat (AS) mengenai isu pemilikan senjata api, lapor laman berita Wion News semalam.

Menurut kumpulan kawalan senjata api Everytown, insiden tembakan kejam itu adalah yang kesembilan tahun ini. 

Ia berlaku 10 hari selepas seorang remaja berusia 18 tahun membunuh 10 individu berketurunan Afrika-Amerika di sebuah pasar raya di New York.

Bagaimanapun, kawalan ke atas pembelian dan pemilikan senjata api masih tidak berubah selepas hampir 10 tahun berlakunya insiden seorang lelaki bersenjata membunuh 20 kanak-kanak dan enam yang lain di sekolah rendah Sandy Hook di Newtown, negeri Connecticut. 

Empat tahun lalu, 17 orang dilaporkan terbunuh di sebuah sekolah menengah di Florida.

“Saya berharap, apabila menjadi Presiden, saya tidak perlu melakukan perkara ini lagi (namun, saya silap),” kata Presiden Joe Biden ketika mengetuai majlis perkabungan negara.

Susulan itu, Biden berikrar untuk mengatasi lobi senjata api di AS dan mencari jalan untuk mengetatkan undang-undang pemilikan senjata api. 

Semua jenis senjata api termasuk senapang berkuasa tinggi dan pistol separa automatik kini dijual pada harga lebih murah di AS berbanding sebelum ini.

Insiden di Texas itu mencetuskan kembali perdebatan mengenai isu senjata api, keselamatan dan hak awam.

Minggu lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit berkata, jumlah kematian melibatkan penggunaan senjata api di AS mengalami peningkatan ‘bersejarah’ pada 2020.

AS mencatatkan 19,350 pembunuhan melibatkan senjata api pada 2020, meningkat hampir 35 peratus berbanding tahun 2019. Sebanyak 24,245 kes bunuh diri melibatkan senjata api turut direkodkan, peningkatan sehingga 15 Peratus.

Kadar pembunuhan melibatkan senjata api pada 2020 adalah tertinggi dalam suku abad ini dengan 6.1 kematian bagi setiap 100,000 penduduk. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI