fbpx
Kes mahkamah Deep dan Heard sedang dibicarakan sekarang ini.

PTSD mungkin palsu kes Johnny Depp, Amber Heard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
ZURAINI MOHD KHALID
WARTAWAN EKSEKUTIF

PERBICARAAN kes saman fitnah membabitkan dua selebriti terkenal Hollywood, Johnny Depp dan juga bekas isterinya, Amber Heard menjadi antara topik paling hangat di media sosial sepanjang minggu lalu.

Perbicaraan yang ditayangkan secara langsung menerusi YouTube itu juga mengundang pelbagai reaksi netizen termasuk menjadikan isu keganasan rumah tangga mereka sebagai jenaka.

Biarpun perbicaraan masih berlangsung, rata-rata netizen cukup yakin kemenangan akan berpihak kepada Depp selain menyifatkan dakwaan yang dibuat Heard berkenaan dirinya yang mengalami post-traumatic stress disorder (PTSD) adalah satu dakwaan palsu.

PTSD adalah satu keadaan yang berlaku kepada individu yang menjadi mangsa pepe­rangan, kemalangan, penderaan fizikal dan mental yang teruk seperti dirogol, keganasan rumah tangga, pembunuhan atau kehilangan orang tersayang.

PTSD berlaku selepas sesuatu peristiwa yang menakutkan berlaku dalam kehidupan seseorang dan kebanyakan daripada mereka akan pulih daripadanya.

Heard mendakwa, dia menderita PTSD akibat keganasan fizikal yang dilakukan Depp yang mana satu kajian telah mendedahkan wanita yang didera oleh suaminya menunjukkan peningkatan risiko mengalami PTSD.

Biarpun keganasan rumah tangga terbukti meningkatkan risiko PTSD, persoalan timbul bahawa adakah penyakit sedemikian boleh dipalsukan?

Menurut seorang pakar psikia­tri kanan dari Delhi, India, Dr. Sanjay Chugh, dalam dunia psikia­tri secara asasnya, apa-apa simptom atau dakwaan boleh dipalsukan, termasuk PTSD.

“Secara teori atau pun praktikal, apa-apa sahaja boleh dipalsukan dalam dunia psikiatri.

“Hal ini kerana dalam perubatan biasa, sekiranya seseorang mengadu mengalami masalah keretakan tulang, dia akan dibawa untuk menjalani ujian imbasan X-ray untuk menentukannya dan jika seseorang mendakwa telah dijangkiti Covid-19, ujian makmal akan dijalankan ke atas individu terbabit.

“Keputusan ujian sama ada negatif atau positif yang diperoleh menerusi ujian makmal bertauliah akan menjelaskan dan menentukan penyakit yang dialami seseorang dengan lebih tepat,” ujarnya.

Namun, Chugh menjelaskan bahawa kaedah tersebut tidak boleh diguna pakai dalam menentukan penyakit mental memandangkan tiada peranti atau alat khusus yang digunakan untuk menjalankan ujian dengan paparan keputusan yang benar-benar tepat.

“Sekiranya seseorang itu bijak dan boleh mendapat manfaat daripada meniru aksi atau mendakwa dia menghidap pe­nyakit mental, dia mungkin boleh membaca dan meniru simptom yang ditunjukkan oleh seorang pesakit mental.

“Sepanjang pengalaman saya dalam bidang ini, saya telah melihat ramai individu yang meniru simptom psikotik dan gangguan mental yang mana salah satunya adalah PTSD,” ujarnya.

 

 

POPULAR