fbpx
Hetty dedikasikan segmen penghargaan untuk Datuk Ahmad Nawab dan Broery Marantika dalam Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang, Ogos depan.

Konsert di KL rai lima dekad Hetty Koes Endang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Malaysia nyata cukup dekat dengan Hetty Koes Endang, sekali gus bakal menjadi gelanggang sambutan ulang tahun ke-50 penghibur legenda Indonesia itu dalam arena seni menerusi sebuah persembahan mega.

Pengikut setianya pasti teruja untuk bersama penyanyi tersohor itu meraikan detik bersejarah dalam kerjayanya menerusi Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, 27 Ogos depan.

Dibawakan Mahajaya Empire Sdn. Bhd., penganjuran konsert solo itu juga sebagai melunaskan impian penyanyi yang popular dengan lagu Berdiri Bulu Romaku itu selepas dua tahun tertangguh berikutan fasa pandemik Covid-19.

Menerusi kenyataan media, penganjur memaklumkan majlis istimewa berkonsepkan makan malam berdurasi sekitar dua jam nanti akan menyaksikan Hetty atau mesra dipanggil Bunda mendendangkan 15 seleksi popularnya.

“Pada persembahan itu nanti penonton akan diperdengarkan dengan rangkaian dendangan popular yang terus malar segar hingga menjadi siulan sampai ketika ini.

“Mereka yang mengikuti konsert ulang tahun ini juga bertuah apabila berpeluang menjadi sebahagian saksi segmen indah iaitu ‘tribut’ atau dedikasi buat komposer tempatan yang tersohor, Datuk Ahmad Nawab, serta penyanyi legenda, Broery Marantika.

“Beliau bakal mempersembahkan beberapa seleksi yang memberi 1,001 makna sebagai simbolik penghargaan terhadap kedua-dua figura terkenal dalam industri muzik nusantara,” tulis kenyataan berkenaan.

Terdahulu, anak seni yang memulakan langkah sebagai penyanyi seawal usia 14 tahun itu pernah menyampaikan lagu ciptaan Ahmad Nawab seperti Antaranya, Inginku Sandarkan Harapan dan Pedihnya Rasa.

Menambahkan lagi keterujaan menanti malam yang sarat dalam nuansa segar itu nanti adalah penampilan pengarah muzik yang bertanggungjawab untuk mewarnakan persembahan Hetty, Datuk Ramli MS.

Terdahulu, sepanjang lima dekad melayari kerjaya seni, Hetty atau nama sebenar Hetty Koes Madewy
hingga kini sudah merakamkan ratusan lagu pelbagai genre.

Biar ramai penyanyi muncul bersilih ganti seiring perkembangan semasa, nama legenda yang dianggap bervokal emas selain punya aura pentas tersendiri itu sekali gus tetap berada di papan atas sama ada di Indonesia mahupun negara serantau.

Sementara itu, bagi peminat yang ingin menyaksikan Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang boleh mendapatkan tiket menerusi laman sesawang ilassoticket.com. – KOSMO! ONLINE

POPULAR