fbpx
SUASANA di Dataran Merdeka baru-baru ini berseri dengan kehadiran ramai peminat basikal lipat yang lengkap memakai baju raya.

Kayuhan Syawal basikal lipat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUASANA di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada pagi 15 Mei lalu penuh sesak dengan kehadiran orang ramai yang lengkap berbaju raya.

Di satu sudut, seorang wanita berkebaya merah jambu kelihatan sedang mengimbangi badannya di atas sebuah basikal lipat sebelum memulakan kayuhan.

‘Geng basikal’ itu berkumpul di Dataran Merdeka seawal pukul 7.30 pagi dengan mengenakan baju raya seperti kebaya labuh, baju kurung serta baju Melayu lengkap dengan samping bukanlah untuk menghadiri acara rumah terbuka, sebaliknya untuk menyertai program berbasikal beramai-ramai sambil berbaju raya yang jarang dapat disaksikan di ibu kota.

Program julung kali dikenali sebagai Kayuh Raya 2022 yang diadakan di Dataran Merdeka itu mendapat sambutan dalam kalangan ahli kelab-kelab basikal dari seluruh negara yang mengambil peluang untuk beramah mesra dalam suasana Aidilfitri.

Cetusan idea untuk mengadakan program tersebut merupakan hasil perbincangan ahli beberapa kelab basikal lipat dari seluruh Malaysia yang kemudian merealisasikannya menjadi satu acara yang cukup meriah.

Menurut penganjur Kayuh Raya 2022, Muhamad Firdaus Abdul Karim, 38, penganjurannya adalah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli kelab selepas sudah sekian lama tidak berjumpa.

Anak kelahiran Klang, Selangor itu yang merupakan ahli kelab basikal lipat dikenali sebagai Klang Foldies berkata, mereka sudah lama tidak berkumpul sambil berbasikal, lebih-lebih lagi bersama anggota kelab basikal lipat lain yang berada di luar Lembah Klang.

“Pada asalnya, tujuan penganjuran acara ini adalah untuk berjumpa dan beramah mesra bersama geng basikal lipat dari seluruh negara.

“Maklumlah, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat akibat pandemik sebelum ini menjadikan kami sudah lama tidak beraktiviti dan menganggap bahawa sambutan Aidilfitri kali ini merupakan waktu terbaik untuk berkumpul beramai-ramai atas dasar minat yang sama,” ujarnya kepada K2.

MUHAMMAD FIRDAUS (depan) gembira program tersebut mendapat sambutan luar biasa sehingga mampu mengumpulkan ribuan peserta dari seluruh negara.

Tambahnya, sebelum ini dia dan rakan-rakan lain kerap mengadakan acara berbasikal beramai-ramai, namun ia merupakan acara berskala kecil.

Muhamad Firdaus bagaimanapun, mengakui bahawa dia sama sekali tidak menyangka bahawa sambutan diterima amat luar biasa apabila sebanyak 44 buah kelab basikal lipat dari seluruh negara dan dua kelab dari Singapura turut serta dalam acara itu dengan mematuhi kod pemakaian ditetapkan iaitu berbaju raya.

“Kami sama sekali tidak menyangka bahawa sambutan yang diterima bagi acara ini adalah amat baik dengan penyertaan sebanyak lebih 40 buah kelab basikal lipat dan lebih 1,000 individu hadir bagi menyertai dan memeriahkan acara ini.

“Antaranya termasuk Klang Foldies, Kami Budak Lipat, Lipatist, Meru Foldiest, Putrajaya Foldies dan banyak lagi.

“Hebahan mengenai acara ini dibuat menerusi hantaran yang dikongsikan oleh beberapa ahli kelab menerusi media sosial,” ujarnya.

PENGLIBATAN orang ramai daripada pelbagai peringkat usia dapat disaksikan dalam program Kayuh Raya 2022.

Susulan kejayaan dan kemeriahan program itu, Muhamad Firdaus kemudiannya menerima undangan daripada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam selaku penganjur utama untuk mengadakan acara Kayuh Raya 2022 2.0 yang bertempat di Dataran Shah Alam kelmarin.

Program tersebut ‘ditumpangkan’ pada acara Shah Alam Car Free Day yang berlangsung pada pagi itu.

“Secara asasnya, konsep Kayuh Raya 2022 2.0 ini sama sahaja dengan yang berlangsung di Dataran Merdeka, namun dengan jumlah penyertaan yang kurang sedikit berbanding sebelum ini.

“Sejujurnya, kami menjangkakan penyertaan yang kurang memandangkan masing-masing sudah pulang semula ke kampung halaman selepas menyertai acara yang berlangsung di Dataran Merdeka tempoh hari,” jelas Muhamad Firdaus.

Menurutnya, peserta Kayuh Raya 2022 di Dataran Merdeka mengayuh basikal lipat sejauh tujuh kilometer, manakala di Shah Alam pula mereka mengayuh sejauh lima kilometer.

Ia hanya bersifat kayuhan santai, tanpa perlumbaan atau had masa.

PESERTA turut tidak ketinggalan merakam gambar kenangan.

Selepas acara kayuhan tamat, peserta bebas untuk bersiar-siar atau lepak bersama ahli geng lain yang sudah lama tidak bertemu.

Muhamad Firdaus juga menyifatkan acara tersebut sebagai medium terbaik untuk bertemu dan berkenalan dengan peminat basikal lipat dari seluruh negara yang datang daripada pelbagai latar belakang.

“Rakan-rakan dan peminat basikal lipat ini datang daripada pelbagai latar belakang. Ada antara mereka yang merupakan golongan profesional seperti doktor dan peguam, namun sama-sama turun padang atas dasar minat terhadap aktiviti ini,” ujarnya.

Bagi seorang lagi penganjur bersama Kayuh Raya 2022 yang merupakan ahli kelab Kami Budak Lipat, Hazrin Noi, 47, program tersebut disifatkan sebagai sesuatu aktiviti mingguan yang menyeronokkan dan cukup santai.

Malah, menurut anak kelahiran Segamat, Johor yang kini menetap di Puchong itu lagi, aktiviti berbasikal lipat juga tidak memerlukan penunggangnya untuk memakai pakaian tertentu seperti basikal konvensional.

“Mungkin ada yang tidak tahu bahawa basikal lipat ini boleh dikayuh tanpa perlu mengenakan pakaian tertentu.

“Anda boleh mengayuh basikal lipat sambil memakai kain, baju kurung, dres mahupun baju Melayu beserta samping, menjadikan ia satu aktiviti yang cukup selesa dan menyeronokkan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN