fbpx

Kerajaan henti ekport 3.6 juta ayam bermula Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa perkara tersebut merupakan satu daripada langkah jangka pendek yang dicapai pada mesyuarat Kabinet hari ini.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensinya.

Langkah berikutnya pula, ujar beliau, ialah untuk mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam serta menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam.

“Kerajaan sedar terdapat laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar.

“Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Pada masa yang sama, kerajaan akan mengurangkan peranan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga.

“Kerajaan akan memperkenalkan semula Jihad memerangi orang tengah yang telah saya perkenalkan pada tahun 2014,” katanya dengan memberitahu, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberikan peranan untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah itu,” jelasnya.

Ujarnya, mesyuarat Kabinet juga menerima beberapa pandangan daripada Ahli Jemaah Menteri berkaitan penanaman jagung, untuk menjadi alternatif kepada makanan ayam.

“Mesyuarat juga bersetuju meminta kerjasama kerajaan Negeri, agensi Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menyediakan tanah Lesen Kependudukan Sementara (TOL) bagi jangka masa panjang.

“MAFI dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah diminta membentangkan pelan-pelan tersebut dalam masa terdekat bagi projek penanaman jagung dan sebagainya,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan turut menggalakkan GLC, agensi kerajaan, Pertubuhan Peladang dan koperasi untuk turut terlibat dalam penternakan ayam.

“Kerajaan akan mengkaji dari segi bantuan kepada mereka yang terlibat. Ini merupakan sebahagian pelan Jangka sederhana dan panjang yang akan dirangka oleh MAFI dan KPDNHEP,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN