fbpx

Isu bekalan ayam: Gangguan bekalan akibat kualiti dedak, penyakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Bekalan ayam di kawasan tertentu mengalami gangguan akibat beberapa faktor seperti kualiti dedak serta jangkitan penyakit.

Perkara tersebut dimaklumkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, antara perkara yang menyebabkan gangguan bekalan ayam juga adalah cuaca panas yang melampau, sekali gus mengganggu pembesaran ayam di ladang terutama reban sistem terbuka.

“Ini telah memberikan kesan kepada bekalan ayam di kawasan-kawasan tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, MAFI berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah melakukan pemeriksaan terhadap syarikat ladang ayam yang dilaporkan memberikan alasan kekurangan bekalan ayam kerana ternakan itu belum mencapai berat jualan akibat masalah penggemukan.

“Susulan pemeriksaan oleh DVS, penjelasan pihak syarikat ladang ayam terbabit serta sesi libat urus yang diadakan mendapati laporan tersebut kurang tepat,” katanya.

Menurutnya, pihak syarikat ladang ayam terbabit telah memberikan jaminan bahawa ladang-ladang mereka akan terus membekalkan ayam untuk keperluan pasaran tempatan, khususnya ayam diproses sama ada dalam bentuk ayam bulat, ayam ‘super’, ayam ‘standard’ serta keratan ayam.

Pada masa sama, katanya, pemeriksaan yang dilakukan oleh DVS juga mendapati kebanyakan ladang ayam bersedia untuk membekalkan ayam.

“Kementerian juga ingin menjelaskan bahawa proses penilaian pemberian subsidi ayam melalui DVS kepada penternak yang mengemukakan permohonan sedang disegerakan.

“Penternak yang memenuhi syarat dan mendapat kelulusan pembayaran
memperlolehi tuntutan dalam tempoh yang telah dijanjikan,” katanya.

MAFI menegaskan bahawa mereka akan terus mengadakan perjumpaan dan libat urus dengan semua pihak industri yang terlibat langsung dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam memastikan kelangsungan pengeluaran bekalan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI