fbpx

Apa yang Nurul Ain buat, jangan ikut – Wafariena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAFARIENA

KEMBALI memberi terjemahan karakter paling dibenci peminat drama waktu perdana, 7 Hari Mencintaiku musim ketiga (7HM3) bernama Nurul Ain, pemilik nama lengkap Wafariena Roslan itu mengakui menerima pelbagai ugutan yang tidak tercapai akal.

Berkali-kali wanita berusia 27 tahun itu memberi peringatan dan penegasan bahawa apa yang dilihat audiens menerusi persembahan miang dan sikap busuk hatinya dalam televisyen bukanlah realiti sebenar.

Semua yang dipancarkan tidak lebih daripada sekadar lakonan semata-mata.

Itulah tugas seorang pelakon. Diberi peranan antagonis, sudah menjadi tanggungjawab buat mana-mana pelakon sekali pun untuk dijayakan sehabis baik sehingga penonton tidak dapat membezakan, mana fantasi, yang mana satu realiti.

WAFARIENA tetap berpesan kepada golongan wanita agar menjadikan watak Nurul Ain sebagai sempadan dan iktibar dalam kehidupan.

“Tiada niat saya sengaja nak undang kecaman netizen. Semua yang penonton lihat hanyalah lakonan.

“Bagaimanapun, orang kecam sebab apa yang ditonjolkan drama menerusi karakter Nurul Ain itu dalam kehidupan realiti.

“Mungkin benda itu terjadi dalam kalangan masyarakat yang kita sendiri tak nampak.

“Untuk saya, orang marah dengan karakter Nurul Ain memberi satu impak besar dalam kerjaya sebagai seorang pelakon,” katanya kepada Pose pada sesi fotografi khas di Studio Media Mulia, Rabu lalu.

Kepercayaan penerbit

Sewaktu artikel ini diterbitkan, khalayak sudah ‘khatam’ apa yang berlaku kepada Nurul Ain kerana drama tulisan Siti Rosmizah Semail dan arahan pengarah, Jamal Khan berkenaan sudah pun melabuhkan tirai.

Wafariena yang merupakan anak jati kelahiran, Bayan Lepas, Pulau Pinang sejujurnya sangat bersyukur kerana masih ada peminat ternanti-nantikan kemunculan biarpun wujud keluhan, untuk apa 7HM3 bersambung sehingga musim ketiga.

Tidak cukup dengan keluhan, bahkan ada yang geram dan menyampah dengan terjemahan karakter Nurul Ain yang sangat merobek hati ramai, terutama golongan wanita.

“Mungkin orang cakap apa, drama ini sampai tiga musim. Entahlah, satu-satunya drama rantaian tempatan yang sampai tiga musim.

“Dapat juga sambutan yang panas, alhamdulillah.

“Saya diberi tanggungjawab bawa watak Nurul Ain yang orang marah, namun pada masa sama orang tunggu. ‘Mana Nurul Ain, mana dia’.

“Walaupun dah tiga musim, setiap kali nak turun set penggambaran, saya tetap gementar. Emosinya nak kembali melakonkan watak dalam setiap babak, Tuhan sahaja yang tahu.

“Tapi saya percaya, produser dah beri satu kepercayaan dan pada masa sama, mereka percaya yang hanya saya boleh jayakan watak ini dengan baik.

Miang

“Cuma saya nak orang tahu, apa yang Nurul Ain tunjukkan dalam drama, jangan kita ikut. Semua yang ditonjolkan (sikap miang, wanita perampas) hanyalah lakonan dan tak perlu jadi ikutan. Dalam drama, semua benda kita (pelakon) boleh buat,” ujarnya.

Sepanjang empat tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, Wafariena mendedahkan bahawa dia sudah ‘masak’ dengan usikan daripada lelaki miang yang diluncurkan dalam direct message (DM) Instagram misalnya.

Katanya, bohong jika dia tidak pernah diganggu dengan mesej dan foto yang bukan-bukan.

WAFARIENA tidak menolak takdir berjodohan dengan lelaki sebaya Pak Samad, namun seboleh-bolehnya biarlah bakal suaminya kelak tidak terlalu tua berbanding dirinya.

“Sebelum saya jadi artis lagi, memang sudah selalu diganggu lelaki miang yang datang daripada pelbagai lapisan usia dan bangsa. Lepas dah jadi artis, jangan ceritalah lagi, bertubi-tubi.

“Ada yang hantar foto ‘burung’, ‘siput’ dan bermacam-macam lagi saya saya dah lali.

“Pendekatan saya mudah, saya tak layan langsung atau pun kalau mereka masih tak mengerti yang saya tak berminat, saya akan block (sekat).

“Kalau dah nampak di notifikasi ada ‘bau-bau’ seseorang nak hantar gambar bukan-bukan, saya terus tak endahkan atau padam sahaja. Senang tak payah layan supaya tiada orang yang tersakiti,” tutur Wafariena.

‘Pak Samad’

Berbicara lanjut tentang pengajaran karakter yang ditinggalkan Nurul Ain, wanita yang turut berbakat dalam nyanyian itu berkata, wanita tidak perlu terkinja-kinja atau tergila-gilakan seseorang lelaki.

“Wanita kena ada nilai eksklusiviti di mata lelaki. Kalau orang lelaki dah tak suka, jangan kita terhegeh-hegeh kejar dia. Jangan jadi macam Nurul Ain.

“Ramai wanita yang cantik. Kalau tak cantik dari fizikal, mesti ada sisi atau aspek lain yang ‘mahal’ di mata lelaki, jangan pula kita merendah-rendahkannya sebab dunia ini luas dan ada banyak pilihan yang boleh dibuat,” getusnya.

MENGAKUI masih solo, wanita asal Pulau Pinang ini milikI ramai sahabat lelaki, namun belum ada yang serius menyuntingnya sebagai permaisuri hati.

Ditebak tentang jodoh dan kemungkinan menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat, Wafariena tenang dengan status wanita solo.

Diusik seandainya terjebak hubungan dengan lelaki berumur seperti Pak Samad, dia tidak menolak jodoh dengan lelaki lingkungan usia sebegitu jika sudah takdirnya.

“Jodoh, ajal dan maut ketentuan Ilahi. Saya pun tak tahu siapa jodoh saya. Sekarang, saya masih single. Kawan ramai tapi yang serius belum ada.

“Tentang jodoh dengan orang yang lebih tua, saya pun tak mampu menolak suratan takdir. Kalau boleh, nak berjodoh dengan orang seusia. Paling tidak pun, bakal suami janganlah usia sampai 50-an.

“Kalau tua lima atau 10 tahun, okey. Tapi, macam saya cakaplah soal jodoh ini kita tak boleh nak jangka. Kita ‘pum pang’ itu ini tapi yang tentukan semuanya Dia juga,” katanya memberi noktah bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI