fbpx
ZII JIA terpaksa bertarung selama tiga set sebelum merakam kemenangan 21-10, 14-21, 21-16 ke atas Rhustavito pada aksi suku akhir Terbuka Thailand hari ini. - BADMINTON PHOTO/BAM

Zii Jia jumpa Daren di separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia cuma selangkah lagi untuk mara ke pentas final Terbuka Thailand selepas menewaskan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito sebentar tadi.

Juara Asia itu tidak mendapat laluan mudah apabila diberikan tentangan sengit selama 56 minit sebelum mencatat kemenangan 21-10, 14-21, 21-16 ke atas pemain ranking ke-24 dunia tersebut.

Kemenangan itu menyaksikan Zii Jia bakal membuat perhitungan dengan seorang lagi wakil perseorangan lelaki negara, Liew Daren dalam aksi separuh akhir di Impact Arena, Bangkok esok.

Daren berjaya mengesahkan tiket selepas bersaing sengit selama tiga set yang memakan masa hampir satu jam untuk menewaskan pemain ranking ke-36 dunia dari China, Zhao Jun Peng 21-10, 19-21, 21-19.

Satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung esok menyaksikan pertembungan antara pemain Jepun, Kodai Naraoka dan Li Shifeng dari China.

WOOI YIK (kiri) dan Aaron menjadi wakil tunggal beregu lelaki negara mara ke separuh akhir Terbuka Thailand. – BADMINTON PHOTO/BAM

Turut mengiringi jejak Zii Jia dan Daren ke separuh akhir adalah gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas menewaskan beregu Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin 21-17, 21-10.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu akan bertemu Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia yang merupakan pilihan kelima kejohanan.

Hasrat satu lagi beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani ke separuh akhir tidak kesampaian selepas tewas 21-23, 15-21 kepada gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Dalam masa sama, Malaysia turut mempunyai wakil beregu wanita di separuh akhir selepas Pearly Tan-M. Thinaah berjaya mengejutkan Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 24-22, 21-12.

Beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai pula terpaksa akur gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir apabila tewas kepada pilihan ketiga kejohanan dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 18-21, 17-21. – KOSMO! ONLINE

POPULAR