fbpx
Gambar hiasan

Individu panas baran ada masalah mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
NUR EMIRA SAIZALI, WARTAWAN EKSEKUTIF

HARI demi hari, kita dilambakkan dengan berita mengenai ke­ganasan rumah tangga pada tahap yang membimbangkan.

Tidak cukup dengan itu, hampir setiap hari juga ada sahaja pengguna media sosial berkongsi pengalaman mereka berdepan dengan individu panas baran dalam kehidupan seharian.

Lebih mendukacitakan, terdapat kes me­nyaksikan pelakunya tergamak membunuh ahli keluarga sendiri kerana tidak lagi mampu menahan atau mengawal rasa amarah serta dendam yang membelenggu diri.

Disebabkan itu, ramai yang mudah ‘naik tangan’ dengan pasangan mereka. Realiti tersebut sememangnya berlaku, tidak kira­lah sudah berkahwin atau pasangan bercinta.

Bak kata orang tua, jika ada dendam yang disimpan terlalu lama, perasaan marah akan meletus juga satu hari nanti dan membawa kepada perkara buruk lain pula berlaku.

Adakah kemarahan seseorang tidak mampu dikawal sehingga sanggup mencederakan insan tersayang dan melakukan pembunuhan? Banyak persoalan yang membelenggu tentang punca­ wujudnya sikap panas baran dalam diri seseorang.

Pada hemat penulis, banyak faktor yang mencetuskan sifat panas baran atau membuak-­buakkan lagi rasa marah tersebut.

Daripada sudut pandangan Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi

Mohamad, sikap panas baran adalah satu bentuk ekspresi emosi yang terpendam oleh individu sehingga­ melepaskan amarah dan sikap agresif yang tidak terkawal.

Ujarnya, panas baran merupakan satu betuk masalah kesihatan mental akibat ketidakupayaan mengawal perasaan marah sehingga bertindak agresif bagi menunjukkan kuasa dominan ke atas individu lain.

“Kebiasaannya perkara tersebut bermula kerana matlamat diingini tidak dapat dicapai sehingga­ mendatangkan kekecewaan.

“Kemudian timbul rasa marah dan sikap agresif sehingga mencetuskan tingkah laku ganas semasa di bawah sedar sehingga boleh mencederakan orang lain,” katanya.

Tambah Suhaimi, terdapat beberapa punca yang boleh mencetuskan sikap tersebut dalam diri seseorang seperti melepaskan perasaan marah yang sudah lama dipendam atau sesuatu konflik yang sering menimpa diri sendiri.

“Antara faktor pencetus adalah gerak hati untuk melepaskan perasaan marah atau geram yang sudah lama terpendam.

“Selain itu, sikap itu juga diperoleh menerusi pembelajaran sosial mengenai tingkah laku panas baran yang dipelajari daripada individu lain sebagai tindak balas kepada tekanan persekitaran,” katanya lagi.

Suhaimi turut menasihatkan agar orang ramai dapat menge­lakkan diri daripada melakukan sebarang provokasi terhadap individu panas baran selain individu yang ada sikap berkenaan bertemu pakar psikologi.

“Provokasi kepada pelaku panas baran mudah mencetuskan tindakan agresif kerana sifat ini sesuatu yang sukar dikawal. Jika berpanjangan boleh menyebabkan tingkah laku ganas.

“Kebiasaan program pengurusan amarah dan sikap agresif diberikan kepada klien yang panas baran termasuklah program Cognitive Behaviour Therapy bagi meregulasi semula emosi negatif kepada positif,” ujarnya lagi.

POPULAR