fbpx
Harga barang naik memberi tekanan kepada pembeli.- Gambar hiasan

Apa barang yang tidak naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak beberapa minggu ini kita banyak terdengar mengenai rungutan isu makanan. Harga barangan keperluan naik. Harga makanan naik kerana bahan asas juga naik. Tiada benda yang tidak naik.

Kenaikan harga memang jelas terasa. Jika anda biasa membeli seketul ayam yang dahulu RM4, kini perlu membayar RM4.50. Harga keperluan dapur seperti sayur dan bahan asas lain tidak ketinggalan naik. Jika dulu dengan RM100, bakul barangan mungkin berjumlah 15 barangan. Kini RM100 yang sama, ia menjadi 12 barangan.

Permintaan tinggi ketika Ramadan dan kini Syawal dan Aidilfitri memberi tekanan kepada harga. Apabila barang itu dikehendaki, ia naik harga. Ini lebih-lebih lagi apabila terdapat gangguan atau kekurangan bekalan.

Akhbar ini telah melaporkan mengenai kekurangan bekalan di kawasan tertentu termasuk tepung selain kenaikan harga barang yang berasaskan tepung. Kenaikan kos juga dikaitkan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500. Kenaikan kos gaji asas tidak termasuk caruman memberi kesan kepada perniagaan terutama bersaiz besar contohnya pengilang. Untuk setiap 100 pekerja yang digaji, kenaikan itu membabitkan kos tambahan RM30,000 tidak termasuk kos caruman.

Jadi pengilang akan ‘pass’ kos itu kepada pembeli bagi mengekalkan keuntungan walaupun sebelum ini mereka sememangnya meraih keuntungan. Tiada yang berniaga untuk rugi. Cuma apabila kos naik, secara lazimnya mereka akan menaikkan harga barangan.

Kenaikan ini bukan hanya di Malaysia. Di seluruh dunia pengguna berhadapan kenaikan harga terutama komoditi asas seperti gandum, gula, minyak kelapa sawit, minyak dan beras.

Cuma di Malaysia, kita tidak merasaikan kenaikan itu secara mendadak kerana semua keperluan asas ditetapkan harga oleh kerajaan menerusi subsidi. Pengawalan agensi seperti beras dan penyimpanan stok memastikan harga beras kekal rendah dan tidak terdedah kepada naik turun yang drastik.

Pengawalan harga menerusi subsidi seperti minyak RON95 membolehkannya kekal pada RM2.05. Tanpa subsidi, ia mungkin menghampiri RM4 seperti RON97. Cuma ketika harga minyak mencecah AS$147 setong pada 2004, harga RON97 hanya RM2.70. Kini harga minyak dunia sekitar AS$110 setong. Mungkin dahulu guna kalkulator, sekarang mereka memakai sempoa.

Nilai ringgit rapuh juga menjadikan barangan import termasuk makanan menjadi mahal. Tahun ini sahaja nilai ringgit susut lima peratus berbanding dolar. Jika diambil kira dua tahun lalu, untuk setiap dolar, kita perlu tambah 30 sen. Jadi bayangkan import makanan berjumlah AS$1 bilion, dalam nilai ringgit, kita harus tambah RM68 juta.

Ini menjadikan kita lebih ‘miskin’ dalam mengimport barangan makanan. Itu tidak termasuk peningkatan kos penghantaran. Semuanya dalam dolar.

Kenaikan harga bukan sahaja di Malaysia. Ia fenomena global dan dirasai di seluruh dunia. Semua penduduk dunia perlu membayar lebih.

Kebimbangan kini apabila harga barang asas ini turun kelak, adakah peniaga akan menurunkan harga kelak.

Malaysia unik kerana tidak seperti hujan, apa yang naik tidak turun.

POPULAR