fbpx

Mat Kilau bakal jadi biopik terhebat alaf ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KISAH perjuangan menyaksikan pengorbanan, keberanian, dan kesatuan hati pahlawan Melayu membebaskan tanah daripada cengkaman British arahan Syamsul Yusof ini bakal menemui penonton di 90 pawagam seluruh negara bermula 23 Jun depan.

SEPERTI pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, itulah yang akan disaksikan oleh penonton lewat buah tangan terbaharu pengarah prolifik, Syamsul Yusof.

Karya terbaharu terbitan Studio Kembara tersebut membentangkan sejarah penting Tanah Melayu dalam wajah biografi epik berjudul Mat Kilau.

Latar perjuangan Mat Kilau disifatkan amat berharga bukan sekadar untuk mencetak rekod di dunia hiburan, tetapi juga mahu berkongsi kehebatan dan jati diri pahlawan dalam menyelamatkan negara kepada generasi masa kini.

ADI PUTRA sebagai Mat Kilau.

Aktor Datuk Adi Putra diberi tanggungjawab menghidupkan darah pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau. Beliau kemudian dibantu dengan barisan pelakon yang bukan calang calang, termasuklah Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin) dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Bajet RM8 juta

Filem yang mengisah seorang pahlawan Melayu Mat Kilau bersama ayahandanya Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya, bangkit menentang penjajahan British tersebut turut dikuatkan dengan barisan aktor dan aktres terbaik tanah air seperti Datuk Jalaluddin Hassan, (Hj. Muhammad), Datuk Rahim Razali, (Imam Bottoqh) Namron, (Hj. Sulong), Shaharuddin Thamby, (Datuk Bahaman) dan Ellie Suriaty, (Ibu Yassin).

Menelan belanja RM8 juta, Mat Kilau menjalani penggambaran selama 100 hari dengan sebahagiannya dijalankan di Perak dan beberapa lokasi lain termasuk Pahang, Melaka dan Selangor.

WAN HANAFI SU sebagai Tok Gajah.

“Sebagai penerbit kami berharap seluruh masyarakat Malaysia menonton filem ini dan terhibur. 

“Filam arahan Syamsul Yusof ini akan membawa kita kembali ke zaman tersebut, merasai kepayahan, keberanian, pengorbanan dan jiwa kepahlawanan yang ada dalam memperjuangkan tanah air kita. Ini adalah sebuah sejarah yang sangat memberi inspirasi,” kata penerbitnya, Shahruddin Dali.

Mat Kilau dibikin dalam suasana  tahun 1892 sewaktu pihak kolonial British telah menduduki tanah-tanah di Pahang. British mengaut hasil bumi Pahang milik orang-orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang-orang Melayu.

Tidak membiarkan kebiadaban British di bumi Pahang berleluasa, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabat-sahabatnya bangkit menentang British.

Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan telah menyebabkan pihak British mengalami tekanan dan kerugian sehingga berlakunya pertempuran yang sengit.

PELAKON A. Galak dan Nam Ron turut mengisi watak dan menjayakan perjuangan orang Melayu dalam filem Mat Kilau.

Kisah perjuangan menyaksikan pengorbanan, keberanian, dan kesatuan hati pahlawan-pahlawan Melayu untuk membebaskan tanah air tercinta tersebut bakal menemui penonton di 90 pawagam seluruh negara bermula 23 Jun depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI