fbpx
NADHIR NASAR

Nadhir Nasar memilih menjadi ‘selektif’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHADIRAN si jejaka tinggi lampai Nadhir Nasar ke Ibu Pejabat Media Mulia sekitar Ramadan lalu memberi jawapan betapa aktor muda berkaliber itu seorang yang mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

Lengkap dengan dua pasang baju Melayu berona merah hati dan hitam, Nadhir tidak kekok memberi pelbagai pose terbaik sambil melayani bidikan jurufoto.

Biarpun kelihatan agak letih dek kepadatan jadual kerja dan ibadah puasa, namun semangat dan aura yang terserlah daripada jiwa anak kelahiran California, Amerika Syarikat itu berada pada tahap terpuji.

Senyuman manis menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi tidak pernah lekang terhulur buat sesiapa sahaja yang menyapanya.

AKUI Nadhir, populariti yang dikecapinya kini berkat sokongan tidak berbelah bahagi khalayak terhadap kerjaya lakonannya.

Apa yang berbeza, gaya rambut panjang melepasi paras bahu sudah tiada. Kali ini, Nadhir hadir dengan gaya rambut pendek, sekali gus mengubah sepenuhnya penampilan yang sinonim dengannya.

Memulakan bicara, Nadhir yang bakat lakonannya terasuh selepas menyertai program pencarian bakat, Hero Remaja 2020 mengakui sebenarnya dia tidak cukup rehat sejak dari awal tahun ini lagi.

“Jujur saya katakan memang tidak cukup rehat sejak dari awal tahun lagi. Nak sampai ke bulan puasa, lagi bertambah penat.

“Kadangkala waktu tidur pun terganggu dan cuma ada beberapa jam. Alhamdulillah rezeki datang tanpa saya sangka,” katanya.

Ujar Nadhir atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 26, dia betul-betul tidak pernah menyangka rezeki atau kata lainnya popularitinya melonjak hingga ke tahap ini.

Puncak populariti

Akui Nadhir, dia tidak pernah meletakkan sebarang sasaran terutama berhubung populariti yang bakal dikecapinya sejak terjun dalam dunia lakonan.

Selesai sesi penggambaran yang memakan masa hampir sejam itu, perbualan diteruskan dan pelbagai perkongsian meliputi segenap diri jejaka bernama Nadhir Nasar dikongsikan.

Ungkap bintang Nusyuz Berkiblat Cinta itu, populariti yang dikecapi kini bukan satu perkara yang perlu dibangga apatah lagi sebagai platform untuk diagung-agungkan.

JEJAKA tinggi lampai berwajah oriental ini mengakui masih jauh daripada istilah puas. Dia belum puas menerokai susur galur dunia lakonan yang sedang menjadi kecintaan utamanya ketika ini.

“Saya sedar juga tentang perkara itu (populariti). Alhamdulillah untuk rezeki ini.

“Apa yang penting bagi saya, populariti datang seiring usaha yang tidak pernah kenal erti putus asa. Semua orang mampu untuk capai populariti jika ada usaha,” ujarnya.

Meneruskan perbualan, Nadhir yang dinobatkan sebagai juara Hero Remaja 2020 memberitahu, sejujurnya dia bukanlah seorang yang meletakkan populariti sebagai keutamaan dalam diri.

Akuinya, walaupun sedar populariti kini sedang mekar, bahkan semakin meroket, dia tidak boleh mudah leka dengan keindahan tersebut.

“Sejak saya berlakon dalam beberapa drama seperti I-Tanggang dan Nusyuz Berkiblat Cinta, banyak reaksi dan komen positif diterima.

“Baru-baru ini saya perasan, ramai memuji hasil lakonan saya menerusi filem pendek sempena Aidilfitri berjudul 7 Hari Di Bawah Matahari.

“Banyak betul komen membina diterima, tak kurang juga yang kurang selesa,” katanya.

Selektif, belum puas

Tutup ceritera populariti, Nadhir yang baru-baru ini dilantik sebagai duta Ramadan dan Raya Astro mengakui masih belum puas dengan apa yang dikecapi kini.

Kata jejaka berzodiak Sagitarius itu, bukan bermaksud tidak bersyukur dengan kurniaan dan apa yang sudah dimiliki, dia cuma masih belum puas menjadi seorang pelakon.

“Belum puas itu bermaksud banyak lagi watak dan karakter yang saya masih belum dapat jayakan walaupun ramai yang kata saya sudah sampai ke tahap itu dengan populariti yang diraih.

“Tetapi pada saya, saya belum sampai ke tahap itu.

“Banyak lagi benda dan perkara yang saya perlu pelajari. Jujur saya belum puas dan masih banyak perkara yang belum diterokai,” katanya.

NADHIR mengakui terpaksa selektif dengan tawaran yang diterima bukan disebabkan angkuh tetapi atas kapasiti kualiti dan kekuatan diri serta karya yang bakal disertai.

Bab selektif pula, Nadhir mengakui sememangnya mengambil pendekatan bersikap memilih buat masa ini.

Bukan sewenang-wenangnya mahu ‘jual mahal’ namun pelakon Projek: Anchor SPM itu ada alasan tertentu.

Katanya, dia bersifat selektif bukan kerana mahu tunjuk lagak atau sombong tetapi menyedari bukan semua watak sesuai dengannya.

“Kita sebagai pelakon ada had dan hala tuju tertentu. Mungkin orang fikir saya selektif disebabkan terlalu memilih atau dalam bahasa lain sebab dah popular, tapi tidak.

“Saya sedar bukan semua watak saya sesuai untuk bawa dan jayakan. Tawaran memang ada tetapi kena tengok juga kita mampu membawanya atau tidak,” katanya.

Bermula hujung Ramadan, Nadhir juga seperti kebanyakan orang lain.

Dia mengambil peluang bercuti raya selama dua minggu pulang ke kampung halaman bersama keluarga tercinta sebelum kembali ke set penggambaran melunaskan kerja.

POPULAR