Saya melihat di negara kita khutbah Jumaat bertongkat. Di negara lain saya lihat ada yang tidak bertongkat. Sekarang ada juga khatib yang pegang tongkat dan ada yang tidak pegang. Apakah hukum khutbah seperti itu?
Jawapan: Tongkat bukan rukun khutbah dalam semua mazhab. Tidak cacat khutbah sama ada memegang atau tidak memegang tongkat. Hanya yang dibincangkan apakah ia sunnah atau tidak.
Kebanyakan ulama berpendapat memegang tongkat atau seumpamanya semasa khutbah adalah sunat. Dalam Al-Umm, al-Imam al-Syafii r.h menyebut: “Orang yang berkhutbah itu berpegang pada tongkat atau panah atau apa sahaja yang menyerupai kedua-duanya. Ini kerana, telah sampai kepada kami bahawa Nabi s.a.w itu berpegang pada tongkat (ketika berkhutbah).”
Maka, pada sisi al-Imam al-Syafi’i disunatkan khatib memegang tongkat atau panah.
Pada masa sama, dalam kalangan ulama ada yang berpendapat tidak perlu memegang sesuatu seperti tongkat atau panah ketika berkhutbah. Mereka ini berpendapat hal itu makruh kerana berbeza dengan sunnah. Ini seperti yang disebut dalam Mazhab Hanafi. Kata Ibn Mazah al-Hanafi dalam Al-Muhit Al-Burhani: “Demikian itu dibolehkan apabila (khatib) berkhutbah memegang pada tongkat atau panah, melainkan ia makruh kerana berbeza dengan sunnah.”
Al-Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah berpendapat, Nabi s.a.w hanya memegang panah atau tongkat ketika berkhutbah sebelum dibuatkan untuk baginda mimbar. Masa peringkat awal, Nabi s.a.w berkhutbah atas batang tamar.
Semasa itu, baginda memegang panah atau tongkat. Mungkin sesuai dengan kedudukan atas batang tamar tersebut. Apabila mimbar telah dibuat, baginda tidak lagi memegang tongkat atau panah semasa berkhutbah. Kata al-Imam Ibn Qayyim dalam Zad al-Ma’ad:
“Nabi s.a.w tidak pernah memegang pedang atau selainnya (ketika berkhutbah). Hanya baginda memegang panah atau tongkat sebelum dibuat mimbar. Baginda (ketika berkhutbah)dalam peperangan memegang panah dan ketika Jumaat memegang tongkat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda memegang pedang. Ada sesetengah golongan jahil sangka bahawa baginda sentiasa memegang pedang sebagai tanda Islam ditegakkan dengan pedang adalah kejahilan yang teramat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda selepas dibuatkan mimbar menaikinya dengan pedang atau panah atau selainnya. Tidak juga sebelum dibuat mimbar baginda memegang pedang di tangannya. Hanya baginda memegang tongkat atau panah.”
Pendapat bahawa tidak disunatkan memegang tongkat atau selainnya semasa khutbah itu turut disokong oleh sebahagian muhaqqiqin. Antaranya, al-Syeikh Muhammad Salih al-‘Uthaimin, di mana beliau menyebut:
“Adapun (pendapat yang menyatakan sunat) khatib dalam keadaan memegang sesuatu semasa khutbah seperti panah atau tongkat, maka ini perkara yang khilaf dalam kalangan ulama rahimahumullah. Kalangan mereka ada berpendapat sunnah untuk khatib memegang tongkat atau panah atau pedang. Namun yang sahih, ia bukan sunnah. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memegangnya ketika berkhutbah disebabkan beliau memerlukannya ketika berkhutbah atas batang tamar. Namun, apabila dibuatkan baginda mimbar, baginda tidak berpegang lagi (pada tongkat). Atas alasan ini kita menyatakan bahawa bukan sesuatu sunnah untuk khatib memegang sesuatu.
Adapun jika seseorang itu memerlukan untuk memegang (sesuatu), maka kita kata bahawa dia wajar memegangnya, bukan kerana khutbah tetapi kerana simpati kepada keadaan dirinya. Ini kerana seseorang wajar kasihani dirinya sendiri dan jangan dibebankan.”
Kesimpulannya, masalah ini adalah khalafiyyah yang muktabar. Setiap pihak mempunyai alasan dan sisi pandang tersendiri. Maka, sesiapa yang ingin memegang tongkat, panah atau seumpamanya, maka dia boleh melakukannya. Ia sunnah di sisi sebahagian besar ulama. Sesiapa tidak berpendapat demikian, maka dia tidak perlu melakukannya. Tiada perbalahan dalam hal ini. Namun, jika ada arahan rasmi ulul amri untuk mereka yang bertugas secara rasmi, maka dipatuhi arahan ulul amri tersebut. Jika, tiada arahan atau berkhutbah dalam premis sendiri, maka itu terpulang kepadanya.














