Sempena Hari Juruterbang Antarabangsa yang disambut pada 26 April lalu, K2 berpeluang menemu bual dua juruterbang tempatan yang mengupas mengenai cabaran sebagai juruterbang masa kini.
Kerjaya sebagai juruterbang pesawat komersial amat mencabar terutamanya dari aspek mental dan fizikal kerana terpaksa bertugas dalam tekanan.
Seorang juruterbang perlu mematuhi setiap prosedur ditetapkan oleh syarikat penerbangan serta pihak pengurusan lapangan terbang bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.
Sebagai juruterbang terikat dengan segala prosedur sama ada di dalam kokpit mahu pun di ground (lapangan terbang). Setiap prosedur di lapangan terbang adalah berbeza-beza.
———————————————————————————————————————————————————————————-
AKSI Maverick menerbangkan pesawat pejuang MiG-28 secara akrobatik dalam filem Hollywood, Top Gun ternyata memberi impak besar dalam kehidupan lelaki berusia 44 tahun itu.
Filem box office lakonan aktor, Tom Cruise yang diterbitkan pada tahun 1986 itu telah memberi gambaran kasar kepada Megat Arizal Izram Megat Abdullah mengenai kerjaya sebagai juruterbang.
Kerjaya juruterbang digambarkan dalam filem tersebut telah membakar semangat lelaki berkenaan yang ketika itu berusia belasan tahun untuk menggapai cita-cita di awan biru.
Terdorong daripada filem itu, dia memulakan langkah mengejar impian sebagai juruterbang dengan memberi sepenuh tumpuan kepada pembelajaran di sekolah.
“Minat saya terhadap kerjaya sebagai juruterbang ini bermula sejak di bangku sekolah lagi. Segalanya disebabkan pengaruh aksi Maverick dalam filem, Top Gun.
“Kebetulan ketika itu, salah seorang bapa saudara saya baru mendapat lesen juruterbang. Dia banyak memberi dorongan kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh serta menguasai subjek Matematik, Fizik dan bahasa Inggeris.
“Ketiga-tiga subjek ini saya perlu score dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) bagi mencerahkan peluang menjadi juruterbang,” katanya ketika di temu bual K2 baru-baru ini.
Ditakdirkan, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM, sekali gus melayakkannya mengambil lesen di Mofaz Air Flying Academy, Langkawi, Kedah.
Selepas 14 bulan berkelana di Pulau Mahsuri, Megat Arizal Izram berjaya mendapatkan lesen bagi membolehkannya memulakan kerjaya sebagai juruterbang dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB) pada 1997 ketika baru berusia 20 tahun.
“Ketika pertama kali menerbangkan pesawat, sesiapa pun pasti berasa sukar. Bagaimanapun, hasil tunjuk ajar dan latihan di akademi dan pihak MAB, saya berjaya menyesuaikan diri dengan baik
“Lama-kelamaan, apabila semua perkara sudah menjadi rutin, kerja yang pada mulanya sukar menjadi senang. Malah, kerjaya juruterbang ini sudah sebati dengan jiwa saya,” ujarnya.
Kini, Megat Arizal Izram merupakan seorang juruterbang berpengalaman dengan 15,000 jam penerbangan yang banyak melakukan perjalanan ke luar negara menggunakan pesawat Airbus 330 milik MAB.

MEGAT ARIZAL IZRAM kini mempunyhai 15,000 jam penerbangan.
Bercerita lanjut, dia memaklumkan, kerjaya sebagai juruterbang pesawat komersial amat mencabar terutamanya dari aspek mental dan fizikal kerana terpaksa bertugas dalam tekanan.
Jelasnya, seorang juruterbang perlu mematuhi setiap prosedur ditetapkan oleh syarikat penerbangan serta pihak pengurusan lapangan terbang bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.
“Sebagai juruterbang, kami terikat dengan segala prosedur sama ada di dalam kokpit mahu pun di ground (lapangan terbang). Setiap prosedur di lapangan terbang adalah berbeza-beza.
“Jadual penerbangan yang padat juga amat menguji ketahanan kami. Seperti saya, hanya ada lapan hari sahaja di rumah setiap bulan, selebihnya di luar negara.
“Disebabkan itu, saya perlu bijak menyusun aktiviti bersama keluarga dan untuk diri sendiri apabila bercuti. Saya juga sangat bersyukur kerana isteri dan anak-anak sangat memahami tugas saya yang tidak menentu ini,” jelasnya.
Bagi memastikan kecergasan fizikal dan mental sentiasa baik sewaktu bertugas, Megat Arizal Izram mengisi masa terluangnya dengan melakukan pelbagai aktiviti sihat termasuk berbasikal dan acara permotoran.
Ceritanya, dia banyak melibatkan diri dalam perlumbaan kereta sejak 1998 sebelum beralih kepada menunggang motosikal berkuasa tinggi sebagai hobi sosial.
Antara pencapaian diperolehnya termasuk meraih podium pada Drag Race Championship dari 1998 hingga 2001, 10 pelumba terbaik ketika Merdeka Race 2004 dan juara 4 Hour Endurance 2012.
“Saya memang minat dengan dunia permotoran sejak muda. Minat ini mungkin dipengaruhi oleh jiwa kelajuan yang ada pada saya ketika mengemudi pesawat komersial.
“Ketika pandemik, saya mula berjinak-jinak mengayuh basikal bersama isteri dan rakan-rakan. Pada saya, kecergasan fizikal dan mental sangat penting sebagai juruterbang.
“Kami bukan saja perlu cergas dari segi fizikal, malah mental perlu sentiasa berada dalam keadaan terbaik bagi membuat keputusan tepat dan pantas ketika berada dalam kokpit,” terangnya.
Seperti juruterbang lain di seluruh dunia, Megat Arizal Izram juga terpaksa mengharugi detik sukar sewaktu pandemik Covid-19. Hal ini kerana, hampir semua penerbangan terpaksa dibatalkan ekoran sekatan perjalanan di kebanyakan negara.

Ketika pandemik, dia hanya menerbangkan pesawat sebulan sekali, selain gaji terpaksa dipotong, sekali gus memberi kesan kepada kehidupan dan komitmen bulanannya.
“Pada mulanya, saya gembira apabila dapat berada di rumah bersama keluarga lebih lama. Apabila pandemik ini berlarutan agak lama, saya mula rasa tertekan kerana tidak dapat bekerja.
“Sebulan hanya sekali sahaja saya terbang, itu pun bawa pesawat kargo. Malah, gaji juga terpaksa dipotong agak banyak. Jadi, saya terpaksa menjual aset termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi bagi mengurangkan komitmen bulanan,” katanya.
Kini, Megat Arizal Izram boleh menarik nafas lega apabila sektor penerbangan kembali pulih selepas negara memasuki fasa endemik, selain pintu sempadan kebanyakan negara telah dibuka.
Mengulas mengenai faktor dirinya masih kekal bersama MAB selama 25 tahun, dia memaklumkan, suasana di dalam syarikat penerbangan negara itu memainkan peranan cukup penting.
Jelasnya, syarikat penerbangan luar mungkin boleh menawarkan gaji lumayan, namun suasana harmoni dan keseronokan bertugas dalam MAB sukar diperoleh di tempat lain.
“Sejak kecil saya sudah memasang impian untuk berkhidmat bersama MAB. Satu kebanggaan apabila dapat memakai uniform MAB ini. Saya akan terus berkhidmat selagi khidmat saya diperlukan,” tuturnya.
Berbeza pula kisahnya dengan Ilyana Nazli Shah yang merupakan juruterbang wanita terawal berkhidmat dengan syarikat penerbangan tambang murah negara, AirAsia.
Wanita berusia 36 tahun itu mula berkhidmat sebagai juruterbang kira-kira 16 tahun lalu selepas berjaya mendapatkan lesen penerbangan menerusi Program Kadet Penerbangan AirAsia (CAE).
Kini, dia merupakan salah seorang juruterbang senior syarikat terbabit dengan tempoh penerbangan 11,500 jam. Ilyana banyak menerbangkan pesawat Airbus 320 ke destinasi domestik serta sekitar Asia Tenggara.
“Minat saya terhadap kerjaya ini didorong oleh bapa yang merupakan seorang juruterbang AirAsia. Saya juga tertarik terhadap pakaian uniform dikenakan oleh juruterbang.
“Pada 2004 saya telah diterima masuk ke CAE yang pertama kali mengambil juruterbang wanita. Selepas hampir setahun di akademi, saya telah diterima berkhidmat bersama syarikat ini,” jelasnya.
Menurut wanita berasal dari Kuala Lumpur itu, kerjaya sebagai juruterbang tidak terhad kepada lelaki sahaja, sebaliknya ia golongan hawa yang mempunyai keazaman tinggi.
Bagaimanapun, Ilyana tidak menafikan terdapat segelintir pihak terutamanya penumpang yang kurang yakin apabila melihat seorang wanita diberi tanggungjawab mengemudi pesawat.
“Sebagai juruterbang, saya selalu tunggu penumpang di depan pintu masuk. Saya ingat lagi, ada seorang penumpang lelaki terkejut apabila mengetahui saya merupakan juruterbang pesawat.
“Rata-rata mereka mungkin kurang yakin dengan kemampuan wanita mengemudi pesawat. Tetapi sejak kebelakangan ini, masyarakat semakin terbuka seiring dengan pertambahan juruterbang wanita,” katanya.

Selain masalah persepsi, Ilyana memaklumkan, tugas juruterbang cukup mencabar dalam menghadapi pelbagai situasi tidak menentu seperti cuaca buruk atau masalah teknikal pada pesawat.
Jelasnya, setiap masalah yang timbul perlu dihadapi oleh juruterbang dengan membuat keputusan tepat bagi memastikan keselamatan para penumpang sentiasa terjamin.
“Saya masih ingat, ketika satu penerbangan dari Kuala Lumpur ke Langkawi, cuaca pada masa itu hujan lebat dan berangin. Ketika ingin mendarat, adrenalin saya sangat diuji.
“Disebabkan itu, pesawat terpaksa mendarat dalam keadaan senget sedikit. Sebaik, pesawat berhenti baru saya perasaan tangan saya menggigil. Kebimbangan saya ketika itu adalah keselamatan penumpang,” ceritanya.
Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan memikul tanggungjawab besar, namun Ilyana memberitahu, kerjaya sebagai juruterbang sangat menyeronokkan.
Ulas anak sulung daripada tiga beradik itu, kerjaya itu bukan sahaja memberi peluang untuk menjelajah dunia, malah dapat berkenalan dengan lebih ramai orang dari pelbagai negara.
“Saya tidak pernah terfikir untuk menukar kerjaya buat masa ini, bahkan sewaktu pandemik Covid-19.
“Ini kerana saya sangat suka dengan tugas sebagai seorang juruterbang,” katanya.














