fbpx

Bekalan senjata AS semakin kritikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Askar AS mengisi peluru berpandu Javelin ke dalam bekas pengangkut ketika latihan menembak diadakan di Fort Carson, Florida pada 28 April 2022. - AFP

WASHINGTON – Tindakan tergesa-gesa Amerika Syarikat (AS) yang banyak memberi bantuan senjata kepada Ukraine telah menghabiskan bekalan peralatan yang boleh digunakan untuk bertahun-tahun lamanya, lapor laman berita RT kelmarin.

Seorang perwakilan parti Republikan dari Wisconsin, Mike Gallagher mendakwa, keadaan itu sekali gus menjejaskan keupayaan Washington untuk menyediakan bekalan senjata kepada Taiwan bagi berdepan dengan risiko konflik dengan China.

“Bekalan senjata kita semakin berkurangan. Negara ini telah ‘membakar’ stok Javelin yang boleh digunakan selama tujuh tahun.

“Ia bukan sekadar penting ketika AS terus ingin membantu Ukraine dalam peperangan, bahkan amat signifikan dalam mempertahankan Taiwan daripada serangan China.

“Kedua-dua wilayah itu akan memerlukan akses kepada sistem senjata tersebut, dan kita tidak mempunyai bekalan buat masa ini untuk menggantikan apa yang telah dihantar kepada Kiev,” kata Gallagher.

Javelin yang dimaksudkan Gallagher merupakan peluru berpandu anti kereta kebal lancaran bahu, di mana lebih 5,000 peralatan itu telah diberikan kepada Ukraine. 

Meskipun Pentagon tidak mendedahkan jumlah sebenar bagi stok bekalan senjata yang dimilikinya, seorang penganalisis Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa yang dibiayai industri senjata berkata bahawa angka itu mewakili kira-kira satu pertiga daripada bekalan senjata AS.

Setakat ini, pentadbiran Presiden Joe Biden telah memberikan bantuan ketenteraan bernilai hampir AS$4 bilion (RM17.5 bilion) kepada Ukraine. 

Beliau juga sedang mendesak Kongres untuk meluluskan bantuan berjumlah AS$33 bilion (RM144.5 bilion) buat Ukraine, dengan AS$20 bilion (RM87.6 bilion) daripadanya akan digunakan untuk membiayai senjata dan sokongan ketenteraan.

Sebagai tambahan, beliau dijangka menandatangani Akta Pajakan-Pinjaman 2022, yang ‘menghidupkan’ semula sekeping undang-undang era Perang Dunia Kedua bagi membolehkan AS mengeksport senjata tanpa had kepada Ukraine.

Sebelum ini, dua lagi perwakilan parti Demokrat dan Republikan yang juga merupakan Jawatankuasa Perkhidmatan Tentera menulis surat kepada Pengerusi Ketua Turus Bersama, Mark Milley bagi menambah semula stok peluru berpandu jarak dekat dan membuat pelaburan dalam menggantikan peralatan-peralatan moden baharu.

Pengilang-pengilang senjata turut dilaporkan sedang melobi White House untuk mendapatkan kontrak-kontrak baharu sebelum meningkatkan penghasilan produk. 

Syarikat-syarikat industri itu yang mencatatkan lonjakan harga saham sehingga 60 peratus sejak peperangan tercetus pada Februari lalu memberitahu akhbar Wall Street Journal bulan lalu bahawa mereka memerlukan lebih banyak dana untuk memastikan bekalan senjata sentiasa mencukupi.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa kita perlu membuat pelaburan lebih dalam industri pertahanan. Kita perlu melabur dalam cara yang mampan agar bekalan senjata sentiasa ada ketika berlakunya peningkatan permintaan,” kata Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa, Eric Fanning. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI