fbpx
Mohd. Fadhli (kiri) membantu isterinya menyusun kuih raya ketika ditemui di Sungai Dua, George Town baru-baru ini.

Tak kenal isteri angkara Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Pengalaman hilang ingatan hingga tak kenal isteri sendiri cukup membuatkan seorang lelaki serik dijangkiti Covid-19 dan menasihatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar tidak menjadi sepertinya.

Mohd. Fadhli Abd. Latib, 39, berkata, lebih memilukan apabila dia tidak dapat menatap jenazah bapanya, Abd. Latif Mohd. Ali, 71, yang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang akibat wabak ber­kenaan pada Ogos tahun lalu.

Katanya, ketika bapanya me­ninggal dunia, dia telah ditidurkan oleh pihak hospital selama 21 hari.

“Selain saya dan bapa, isteri, Siti Hajar Arshad, 34, dan anak, Luqman Athar, 8, turut dijangkiti Covid-19, namun pulih seminggu kemudian.

“Tempoh pemulihan selepas ditidurkan amat getir hingga saya kehilangan berat badan lebih 20 kilogram. Saya tidak dapat berjalan lebih sebulan kerana virus menyerang saraf kaki kiri,” kata­nya ketika ditemui di Sungai Dua di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Fadhli, lebih parah apabila dia seperti hilang ingatan selepas ditidurkan sehingga tidak kenal isterinya.

“Ketika terjaga, saya tanya siapa wanita ini yang datang jumpa ini? Selepas beberapa bulan, ­ingatan kembali perlahan-lahan begitu juga tempoh pemulihan kaki saya.

“Isteri dan ahli keluarga lain serta rakan-rakan banyak membantu proses pemulihan,” kata­nya.

Tambahnya, sebagai bekas pesakit Covid-19, dia ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati kerana wabak ber­kenaan masih wujud dalam kalangan masyarakat.

“Kita tidak boleh leka dan lalai, perlu sentiasa patuh SOP, sentiasa pakai pelitup muka serta menjaga kebersihan diri,” katanya.

POPULAR