KOTA BHARU – Penyalahgunaan air ketum dalam kalangan remaja di Kelantan dilihat semakin membimbangkan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Sumber polis di Kelantan memberitahu, perkara itu membimbangkan apabila seramai 425 orang remaja berusia 14 hingga 18 tahun dicekup terlibat kegiatan membabitkan ketum pada tahun 2020.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu pula, seramai 202 orang remaja berusia 14 hingga 18 tahun ditahan selepas terlibat dalam jenayah menjual dan minum ketum di negeri ini.
“Meskipun menunjukkan penurunan, namun penyalahgunaan ketum dilihat masih berada pada tahap yang membimbangkan apabila remaja sudah mula terbabit dalam kegiatan itu sejak di bangku sekolah.
“Bagi remaja berusia 13 tahun ke bawah pula, tiada tangkapan melibatkan golongan tersebut dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Menurut sumber itu lagi, berdasarkan siasatan, remaja dipercayai minum air ketum kerana percaya ketagihannya tidak seteruk menagih dadah pil kuda dan syabu.
Ujarnya, ada dalam kalangan remaja yang ditangkap mendakwa minum ketum boleh memberi rangsangan dan bertenaga kerana campuran yang digunakan adalah ubat batuk.

“Siasatan mendapati, kes melibatkan golongan remaja yang terlibat dalam penyalahgunaan ketum ini banyak dilaporkan di daerah Tanah Merah, Bachok, Pasir Mas dan Tumpat.
“Berdasarkan tangkapan, golongan dewasa berusia 19 hingga 24 tahun ramai dicekup kerana terlibat dalam kegiatan menjual dan minum ketum apabila seramai 990 orang ditahan pada 2020 dan 741 orang tahun lalu,” katanya.
Kata sumber lagi, sepanjang tahun 2020, polis Kelantan telah membuat tangkapan terhadap seramai 2,885 orang melibatkan pelbagai peringkat umur, manakala 2,084 orang pada tahun lalu yang terlibat dengan ketum.
Ujarnya, selain itu, pihaknya telah merampas sebanyak 10,205.865 liter air ketum bernilai lebih RM102,000 dan jumlah itu meningkat kepada 11,150.105 liter dengan nilai melebihi RM111,000 tahun lalu.
“Bagi daun ketum pula, sebanyak lebih 28,000 kilogram daun ketum dirampas dua tahun lalu dengan nilai RM853,000 untuk tahun 2020, manakala meningkat kepada 34,000 kilogram dengan nilai rampasan melebihi RM1.02 juta pada tahun lalu.
“Sehubungan dengan itu, ibu bapa dan masyarakat perlu peka terhadap anak-anak mereka sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan golongan remaja terlibat dalam kegiatan menjual atau minum ketum ini,” katanya.














