fbpx

Nyawa 18 penumpang ke Kedah nyaris ‘melayang’, pemandu bas lalok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Firdaus (kanan) memeriksa dokumen perjalanan salah sebuah bas ekspres di Terminal Melaka Sentral, malam tadi.

MELAKA – Nyawa kira-kira 18 penumpang bas ekspres ke Kedah nyaris ‘melayang’ apabila pemandu kenderaan berat itu dikesan positif dadah dalam Ops Hari Raya Aidilitri (HRA) bersepadu di Terminal Bas Melaka Sentral, di sini malam tadi.

Pemandu berusia 38 tahun itu dikesan positif dadah jenis ganja dalam pemeriksaan oleh penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kira-kira pukul 9.30 malam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, lelaki itu merupakan pemandu gantian yang dicari oleh syarikat bas terbabit selepas pemandu sebenar tidak dapat hadir di saat akhir.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut penguat kuasa bagaimanapun mendapati pemandu itu positif dadah jenis ganja dan masih dalam tempoh pengawasan AADK.

“Dalam operasi bersepadu ini, AADK telah menahan seorang pemandu bas berusia 38 tahun apabila dikesan positif dadah jenis ganja dalam serbuan dilakukan di Terminal Bas Melaka Sentral.

“Pemandu itu dijadualkan membawa kira-kira 18 penumpang bas dari Melaka ke Kedah pada pukul 10 malam ini,” katanya ketika ditemui selepas pemeriksaan di terminal bas itu di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut beliau berkata, sepanjang Ops HRA bermula 29 April lalu sehingga semalam, pihaknya telah memeriksa 944 kenderaan dan sebanyak 174 tindakan telah dilakukan membabitkan pelbagai kesalahan.

“Kesalahan utama yang kerap dilakukan adalah tidak mematuhi lampu isyarat merah iaitu sebanyak 22 kes, lebih muatan (14) dan tidak memakai topi atau tali pinggang keledar (13).

“Selebihnya menggunakan telefon bimbit semasa memandu iaitu sebanyak enam kes, memotong barisan (lima) dan memandu di lorong kecemasan empat kes,“katanya.

Jelasnya, pemeriksaan juga telah dilakukan ke atas 326 bas dan 122 pemandu bas ekspres di Terminal Bas Melaka Sentral.

Dalam pada itu, Muhammad Firdaus berkata, agensinya akan terus mempertingkatkan kebolehlihatan penguatkuasaan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI