fbpx
Sebahagian kenderaan yang tersadai akibat kehabisan petrol di Saujana, Setiu malam tadi.

[VIDEO] Lori minyak lambat, Setiu, Besut habis RON95

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Permintaan tinggi luar biasa pada musim perayaan Aidilfitri punca beberapa stesen minyak di daerah Setiu dan Besut kehabisan bekalan petrol khususnya RON95 semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia. berkata, semakan pihaknya mendapati masalah kekurangan bekalan petrol tersebut hanya melibatkan sebahagian stesen minyak yang terletak di laluan mempunyai trafik tinggi.

“Berdasarkan maklum balas pengusaha stesen minyak terlibat, permintaan terhadap petrol terutama RON95 amat tinggi pada musim raya ini.

“Ia menyebabkan bekalan petrol mereka pada kapasiti penuh telah habis dengan pantas tanpa sempat lori tangki tiba untuk melakukan pengisian semula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Saharuddin berkata, kesesakan lalu-lintas yang berlaku di laluan-laluan utama di Terengganu terutama pada semalam agak luar biasa.

Tambah beliau, kelewatan tersebut turut disumbang oleh lori-lori tangki yang membawa bekalan petrol terbabit telah tersangkut dalam kesesakan lalu-lintas.

“Bagaimanapun masalah tersebut telah berjaya diatasi secara berperingkat mulai awal pagi tadi,” katanya.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan masalah kehabisan bekalan petrol itu telah menyebabkan banyak kereta tersadai di beberapa stesen minyak di Setiu dan Besut – KOSMO! ONLINE

POPULAR