fbpx
Imej kapal angkasa Soyuz MS-20 dirakam di tapak pelancaran beberapa minit sebelum dilancarkan ke angkasa di Kosmodrom Baikonur, Kazakhstan pada 8 Disember 2021.- AFP

Russia tamatkan kerjasama di ISS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW – Ketua Pengarah Agensi Angkasa Lepas Russia (Roscosmos), Dmitry Rogozin mengumumkan bahawa Moscow akan menarik diri dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dan tidak lagi akan bekerjasama dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) serta Agensi Angkasa Eropah (ESA).

Menurut laporan akhbar Daily Mail, Rogozin memberitahu stesen televisyen Rossiya 24 kelmarin bahawa negara itu tidak akan meneruskan usaha sama dengan rakan-rakan kerjasama antarabangsanya di ISS. Beliau sekali gus mengesahkan keputusan untuk menarik diri telah dibuat.

Tambahnya, Roscosmos tidak perlu memberikan tarikh tepat bagi penarikan diri, namun program angkasa lepas Russia akan mematuhi notis setahun yang telah ditetapkan.

“Keputusan telah dibuat dan kami tidak perlu membincangkannya secara terbuka. 

“Kami juga akan meneruskan kerjasama di ISS menurut jangka masa yang telah ditetapkan oleh kerajaan Russia, sehingga sekurang-kurangnya tahun 2024,” katanya.

Awal bulan ini, Rogozin telah memuat naik satu kenyataan di Twitter yang menyelar sekatan Barat ke atas Rusia berkaitan program angkasa lepas di tengah-tengah pencerobohan ke atas Ukraine.

“Saya percaya bahawa hubungan antara rakan kerjasama di ISS dan projek-projek bersama lain akan kembali pulih sekiranya semua sekatan ditarik balik,” demikian menurut ciapan Rogozin.

Bidang angkasa lepas merupakan satu-satunya kerjasama yang masih terjalin antara Moscow dan Barat buat masa ini. 

Selama berdekad-dekad, Russia telah membawa angkasawan Amerika Syarikat (AS) untuk pergi dan kembali dari ISS menggunakan roket Soyuz, namun telah berhenti melakukan demikian pada 2020.

Bagaimanapun, sekiranya Russia menarik diri daripada kerjasama di ISS, NASA dan ESA dikhuatiri sukar mengekalkan operasi serupa di stesen tersebut kerana operasi di ISS dijalankan dengan kerjasama antara Moscow dan Washington. 

Bagaimanapun, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, NASA telah bekerjasama dengan beberapa entiti komersial swasta, terutamanya SpaceX milik bilionair, Elon Musk bagi tujuan kargo dan pelancaran roket yang membawa angkasawan. 

Ia bertujuan bagi mengurangkan kebergantungan Washington terhadap Moscow. – Agensi 

POPULAR