fbpx

Rezeki lebaran Wani Kayrie, Nadhir Nasar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADHIR bakal hadir dengan filem pendek khas berjudul Tujuh Hari Di Bawah Matahari terbitan Astro Syawal nanti.

DILANTIK sebagai duta Ramadan-Raya 2022 Astro bukanlah satu tugas mudah buat gadis genit kelahiran Sandakan, Sabah bernama Wani Kayrie.

Pun begitu, bakat yang dimiliki serta karisma yang ditonjolkan gadis muda berusia 22 tahun ini cukup melayakkan dirinya menggalas tanggungjawab tersebut.

Ditemui dalam sesi fotografi khas Aidilfitri bersama Kosmo! baru-baru ini, Wani kelihatan ceria disulami sebaris senyuman manis pada bibir yang tidak pernah lekang.

Ditanya mengenai perkembangan terbaharu, Wani memberitahu, dia baru sahaja hadir dengan single raya berjudul Semangat Lebaran Kita (SLK) kolaborasi bersama penyanyi terkenal Yonnyboii.

Tidak setakat itu, Wani turut bersyukur diberi kepercayaan pihak Astro yang melantik dan memilih dirinya sebagai salah seorang duta Skuad SLK Ramadan-Raya tahun ini.

“Alhamdulillah rezeki masih menyebelahi saya untuk kali ini. Terbaharu saya bertuah kerana dapat dipilih untuk berkolaborasi bersama Yonnyboii bagi sebuah lagu raya.

“Perasaan sudah tentu sangat gembira dan teruja sebab ini adalah kali pertama digabungkan bersama Yonnyboii. Jadi kami amat bertuah kerana terpilih untuk menjayakan projek tersebut.

“Semangat Lebaran Kita ini adalah sebuah lagu bergenre alternatif pop yang menceritakan kegembiraan setiap insan kerana akhirnya dapat menyambut raya bersama setelah lama tidak berjumpa,” katanya yang mengharapkan lagu tersebut dapat diterima semua.

WANI bersyukur dan teruja dapat berkolaborasi menerusi lagu raya terbaharu bersama rakan seperjuangannya, Yonnyboii.

Ditebak maksud sebenar Aidilfitri bagi dirinya, Wani memberitahu, dapat beraya dan berkumpul bersama keluarga merupakan satu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Mengenai rancangan yang paling diminati dan ditunggu-tunggu di Astro, Wani berkata, drama Jangan Menangis Cinta antara yang disukainya sepanjang Ramadan ini.

“Saya sukakan watak Riyana dalam naskhah tersebut yang membuktikan kekuatan seorang wanita. Bagi Syawal pula, saya tak sabar nak tonton rancangan Bila Tiba Big Stage Beraya,” katanya.

Tutup cerita mengenai si cantik Wani, pelakon dan model kacak bernama Nadhir Nasar tidak kurang hebatnya.

Ditanya mengenai perkembangan terkini, Nadhir berkata, dia bakal hadir dengan sebuah iklan filem pendek berjudul Tujuh Hari Di Bawah Matahari terbitan Astro sekali gus dilantik menjadi duta Skuad SLK.

“Alhamdulillah penggambaran berjalan dengan lancar. Pengalaman bekerja dengan pengarah Razaisyam Rashid sangat berharga dan merupakan satu pengalaman menarik dalam karier saya sebagai pelakon.

“Bercakap mengenai cabaran sepanjang menjayakan filem pendek ini, penggambaran melibatkan banyak lokasi terutama di Kuala Lumpur, Perlis, Perak, Pulau Pinang dan beberapa kawasan lagi dilakukan ketika negara masih bergelut dengan pandemik,” ujarnya.

NASKHAH Tujuh Hari Di Bawah Matahari lakonan Nadhir Nasar yang mengisahkan perjuangan hidup anak muda bernama Emil dalam menempuh kehidupan di era pandemik Covid-19

Mengulas sedikit mengenai watak yang dibawakan, Nadhir memberitahu, dia membawa watak Emil yang mana terkesan dengan pandemik, kehilangan pekerjaan serta harta benda.

“Dia (Emil) bertekad untuk pulang ke kampungnya sempena Aidilfitri dengan mengayuh basikal dari Kuala Lumpur ke Perlis.

“Perjalanannya turut menjadi tumpuan ramai dalam media sosial apabila dia bertaruh untuk mengayuh bersama seekor kucing jantan bernama Borhan.

“Sepanjang pengembaraannya, dia banyak belajar tentang erti hidup sebenar yang tidak bersandarkan pada harta benda semata-mata, tetapi apa yang lebih penting adalah harapan, belas kasihan, keredaan dan kasih sayang,” ceritanya.

Tujuh Hari Di Bawah Matahari turut menampilkan barisan pelakon terkenal lain seperti Sherie Merlis, Pekin Ibrahim dan Sean Lee.

Naskhah hebat tersebut boleh ditonton secara eksklusif di Astro Go menjelang hari raya pertama pada pukul 8.30 malam serta di saluran-saluran televisyen Astro pada Syawal ketiga, pukul 8 malam.

Menamatkan bicara, Nadhir turut berkongsi drama Nusyuz Berkiblat Cinta lakonannya menjadi rancangan pilihan sewaktu Ramadan selain Scammer 2 dan Gegar Vaganza “Semangat Nak Raya!” bagi Syawal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI