fbpx
Fazira

Fazira raya ala kadar sebab kaki cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nurul Fazira Ilyannie Ramli, 24, atau mesra disapa Fazira yang menghiasi kolum Pesona Ahad minggu ini merupakan seorang gadis yang teliti dan optimis dalam mencorak masa depannya terutama bidang perniagaan.

Mudah didekati dan ­periang, model sambilan dari Pulau Mutiara ini amat menitikberatkan hubungan rangkaian dalam kalangan penggiat industri bagi memastikan dia mendapat pendedahan asas dalam perniagaan sebelum membina empayarnya sendiri.

Biarpun masih muda, Fazira pernah mengusahakan perniagaan tudung bersama rakan-rakan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia. Sambutan yang dite­rima amat menggalakkan.

Ikuti temu bual Kosmo! Ahad bagi mengetahui lanjut mengenai pelajar semester akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Merbok, Kedah ini.

Kosmo! Ahad: Boleh cerita latar belakang Fazira?
Fazira: Saya merupakan anak tunggal, berasal dari Permatang Pauh dan kini menetap di Tanjong To­kong, George Town. Ketika ini, saya menjalani latihan praktikal di bahagian kewangan sebuah syarikat perisian komputer di Bayan Baru.

Bagaimana boleh terlibat dalam bidang peragaan?
Pada 2019, saya mengikuti pertandingan solekan yang dianjurkan menerusi Instagram. Saya rasa serasi kerana meminati bidang kecantikan dan fe­syen. Selain itu, saya turut melibatkan diri dalam penggambaran untuk produk kecantikan dan pakaian seperti tudung. Saya juga mengikuti kelas peragaan bagi menambah ilmu.

Apakah perancangan Fazira untuk 10 tahun akan datang?
Jika tidak meneruskan pernia­gaan tudung, sa­ya ber­cadang untuk melibatkan diri dalam per­niagaan ka­fe. Saya akui bukan mudah untuk menguruskan kafe tetapi sebagai anak muda kita perlu merebut peluang. Sebab itu adalah penting bagi saya untuk sentiasa mewujudkan hubungan dengan usahawan atau syarikat yang berjaya supaya dapat berkongsi ilmu dan juga kemahiran dengan mereka.

Pandangan anda mengenai trend pengguna media sosial yang sanggup mengaibkan diri demi sebuah kandungan?
Saya faham orang muda sekarang tidak mahu ketinggalan. Berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat hantaran kerana setiap apa yang dikongsi akan kekal walaupun ia telah dipa­dam. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan memakan diri.

Ciri-ciri lelaki idaman?
Saya amat menitikberatkan lelaki yang berpelajaran, beragama selain mempunyai figura seorang bapa. Ini kerana, kesemua ciri-ciri tersebut berkait rapat dalam membina sebuah keluarga yang harmoni.

Umat Islam akan meraikan Aidilfitri pada minggu depan. Boleh kongsi pengalaman hari raya yang tidak dapat dilupakan?
Lucu apabila mengenangkan saya terpaksa beraya tanpa baju baharu pada 2018 gara-gara pakaian yang ditempah secara online menghadapi masalah. Saya pernah mendapat duit raya RM800 daripada ibu dan ayah kerana memperoleh keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah. Paling dinanti-nantikan sudah tentu juadah kegemaran seperti ketupat, rendang, lemang dan ayam masak merah.

Bagaimana dengan persiapan hari raya tahun ini?
Persiapan Hari Raya Aidilfitri kali ini disambut secara sederhana sahaja kerana mengalami kecederaan kaki kerana terjatuh baru-baru ini. Saya hanya sempat membeli baju raya dan mungkin akan membuat biskut mentega Cornflakes. Duit raya pula, saya memperuntukkan ki­ra-kira RM500.

 

 

POPULAR