fbpx

Gaji minimum RM1,500 tetap dilaksanakan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
M. Saravanan

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan tiada penundaan diberi kepada mana-mana sektor ekonomi atau jenis pekerjaan dalam pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 sebanyak RM1,500 yang akan bermula esok.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, keputusan itu dibuat memandangkan kerajaan telah memberi bantuan kepada majikan melalui pakej bantuan Covid-19 seperti Program Subsidi Upah yang telah berupaya mengekalkan perniagaan dan pekerjaan.

“Pelaksanaan kaedah PGM 2022 adalah melibatkan majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan berkuatkuasa mulai esok (1 Mei).

“Majikan yang terlibat menjalankan sesuatu aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) 2020 iaitu profesional sains dan kejuruteraan; kesihatan; perguruan; perniagaan dan pentadbiran; teknologi maklumat dan komunikasi; perundangan; perkhidmatan hospitaliti dan yang berkaitan; sosial dan kebudayaan dan badan pengawalaturan tanpa mengira jumlah pekerja yang digajikan.

“Bagi majikan yang menggajikan kurang lima orang pekerja, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan akan bermula pada 1 Januari 2023 dan bagi tempoh 1 Mei hingga 31 Disember 2022, kadar gaji minimum yang terpakai ialah seperti PGM 2020 iaitu RM1,200 sebulan bagi tempat pekerjaan di kawasan Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran dan RM1,100 sebulan bagi kawasan selainnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saravanan berkata, penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,500 sebulan kepada majikan yang menggajikan kurang lima orang pekerja adalah bagi memberi peluang kepada majikan kategori ini membuat persediaan sewajarnya.

Katanya, kadar gaji minimum harian dan jam serta kadar gaji bagi pekerja yang tiada gaji pokok tetapi dibayar melalui tugasan dan produktiviti seperti komisen, upah ikut kerja dan sebagainya turut diperincikan dalam PGM 2022.

“Pelaksanaan gaji minimum ini tidak terpakai kepada pekhidmat domestik sebagaimana PGM terdahulu. Gaji bagi Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) akan dibayar tidak kurang daripada kadar gaji minimum yang sedang terpakai di negara ini.

“Ia seperti yang dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman Berhubung Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia di Malaysia yang ditandatangani pada 1 April lalu,” katanya.

Tambah Saravanan, penguatkuasaan gaji minimum akan dilaksanakan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Justeru itu, semua majikan diminta mematuhi pelaksanaan gaji minimum baharu ini.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI