fbpx

Juruterbang merokok punca nahas EgyptAir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada barangan milik penumpang dan serpihan pesawat EgyptAir MS804 ditemui di utara Alexandria, Mesir pada 21 Mei 2016. – Getty Images

KAHERAH, MESIR – Nahas pesawat EgyptAir yang terhempas ketika dalam perjalanan ke Kaherah pada 2016 dan menyebabkan 66 orang terbunuh dilaporkan berpunca daripada juruterbang merokok di dalam kokpit, lapor akhbar New York Post semalam.

Perkara itu didedahkan dalam  satu laporan baharu setebal 134 muka surat yang disemak oleh akhbar Itali, Corriere della Serra. 

Pada 19 Mei 2016, penerbangan EgyptAir MS804 itu berlepas dari Lapangan Terbang Paris Charles de Gaulle  di Perancis sebelum terhempas di sebuah lokasi di antara Pulau Crete di Greece dan utara Mesir.

Biro Siasatan dan Analisis Keselamatan Penerbangan Awam Perancis (BEA) membuat kesimpulan bahawa  rokok juruterbang,  Mohamed Said Shoukair telah mencetuskan  kebakaran dalam pesawat Airbus A320 itu.

Ia berpunca daripada api rokok  menyalakan oksigen yang dilaporkan bocor daripada topeng oksigen di dalam kokpit.

Pihak berkuasa Mesir pada awalnya menyatakan bahawa pesawat itu terhempas akibat serangan pengganas serta mendakwa menemui kesan bahan letupan pada mayat-mayat mangsa. Dakwaan itu bagaimanapun diragui ramai pihak.

Pada 2018, BEA yakin pesawat malang itu terhempas disebabkan berlakunya kebakaran berdasarkan analisis perakam kotak hitam. Pasukan penyiasat bagaimanapun tidak menyatakan punca sebenar kebakaran itu.

Namun, pada Mac lalu, BEA mengeluarkan laporan baharu menyatakan bahawa oksigen telah bocor daripada topeng oksigen juruterbang di dalam kokpit sejurus sebelum pesawat terhempas. Penilaian itu dibuat berdasarkan data kotak hitam yang merakam bunyi oksigen bocor.

Pakar-pakar berkata, perbuatan merokok di dalam pesawat dan ditambah dengan kebocoran oksigen telah mencetuskan kebakaran.

Ketika tempoh masa insiden tersebut, semua juruterbang pesawat EgyptAir dibenarkan merokok di dalam kokpit, namun peraturan itu kini diubah.

Nahas pesawat itu kini menjadi subjek kes pembunuhan di bawah Mahkamah Rayuan Paris.

Kerajaan Mesir enggan mengeluarkan laporannya sendiri mengenai nahas tersebut dan pada 2018, Kaherah menolak penemuan awal BEA dan menyifatkannya sebagai ‘tidak berasas’. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI