fbpx

Elak hutang selepas raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

TIDAK sampai seminggu lagi, umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika era endemik.

Selepas dua tahun tidak dapat meraikan lebaran bersama keluarga tercinta ketika negara berperang dengan pandemik Covid-19, sudah pasti raya pada kali ini membawa makna tersendiri kerana dapat bertemu mata dengan keluarga di kampung, terutamanya ayah dan bonda.

Ramai yang sudah berkira-kira untuk pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dengan hati berbunga-bunga.

Bagi kebanyakan mereka, kesesakan luar biasa yang dijangka berlaku tidak menjadi persoalan utama, asalkan dapat balik kampung.

Perasaan girang ini ditambah pula permohonan untuk pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diluluskan dan dapatlah mereka menggunakannya serba sedikit untuk perbelanjaan menyambut lebaran.

Cuma, gunakanlah wang tersebut dengan berhemah agar kita tidak menyesal berada dalam ‘kesempitan’ selepas raya nanti.

Apa yang pasti, kemeriahan Syawal tahun ini adalah luar biasa selepas dua tahun tidak dapat pulang ke kampung ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Bahang kemeriahan itu sudah boleh dirasai kini apabila ribuan umat Islam menyerbu bazar Aidilfitri dan pusat beli-belah, terutamanya dalam masa seminggu sebelum lebaran, seolah-olah melepaskan dendam kesumat selepas sudah lama tidak dapat berbuat demikian.

Jalan masuk ke tempat-tempat tersebut turut mengalami kesesakan luar biasa dari pagi hingga malam hari semata-mata ingin mendapatkan keperluan raya seperti pakaian, langsir, perabot dan sebagainya.

Dalam keghairahan kita menyambut Syawal dengan berbelanja sakan seolah-olah tiada lagi hari esok bagi meraikan hari istimewa itu, jangan pula membuat pembelian ‘melampau’ sehingga dibelenggu dengan bebanan hutang.

Seboleh-bolehnya elakkan berhutang kerana apa yang lebih penting, kita perlu fikirkan keperluan mendesak pada masa depan.

Ambillah iktibar sewaktu negara dilanda pandemik dua tahun lalu yang menyebabkan ramai terkesan termasuk kehilangan mata pencarian selepas diberhentikan kerja.

Justeru, janganlah kerana dapat pulang beraya bersama keluarga selepas dua tahun, kita terlupa apa yang telah dilalui sebelum ini dengan membalas dendam berbelanja sakan menurut kata hati.

Perlu diingat juga, Hari Raya Aidilfitri hanyalah sehari dua dan selepas itu kita kembali kepada kehidupan normal.

Dalam hal ini, berbelanjalah ikut kemampuan dan berhemah kerana tidak berbaloi untuk menanggung bebanan hutang dalam tempoh lama selepas hari raya.

Kita selalunya lupa bahawa pada sambutan Aidilfitri, paling penting adalah menyambung silaturahim dengan keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan dan bukannya bermegah dengan apa yang dibeli, kononnya untuk menjaga imej diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI