GEORGE TOWN – Pengambilan produk susu formula di dalam tin turut mendedahkan golongan bayi kepada ‘pencemaran’ bahan Bisphenol A (BPA).
Pakar Perunding Pediatrik dan Laktasi, Hospital Pantai Pulau Pinang, Dr. Balkees Abdul Majeed berkata, selain digunakan dalam pembuatan sebahagian botol susu, pelbagai produk di pasaran turut didapati menggunakan bahan tersebut seperti tin susu formula.
“Selain botol susu, BPA juga boleh didapati dalam barangan lain yang diperbuat daripada plastik seperti cawan minuman, bikar dan pinggan mangkuk plastik.
“BPA juga ada digunakan dalam salutan dalaman tin makanan, termasuk tin susu formula yang secara tidak langsung mendedahkan bayi kepada bahan itu,” katanya kepada Kosmo!.
Beliau berkata, pendedahan terhadap BPA terutamanya sejak usia bayi akan memberi kesan buruk terhadap kesihatan biarpun pada kuantiti sangat rendah apabila ia mengganggu sistem endokrin atau hormon tubuh.
“BPA merupakan pengganggu endokrin yang boleh meniru hormon badan dan dengan itu boleh mengganggu sistem berkenaan yang mengawal perkembangan sistem imun serta pembiakan badan.
“Pendedahkan kepada BPA dikaitkan dengan masalah kanser, obesiti, diabetes, masalah neurologi dan tingkah laku serta reproduktif,” jelasnya.
Dr. Balkees berkata, punca pendedahan bayi kepada BPA apabila botol susu atau botol minuman polikarbonat terdedah dengan suhu air panas yang boleh menyebabkan ia larut bersama.
“Oleh itu, untuk menyediakan susu formula, adalah disyorkan air dipanaskan terlebih dahulu, kemudian dibiarkan sejuk hingga tidak kurang daripada suhu 70 darjah Celsius sebelum dimasukkan ke dalam botol susu bayi.
“Selain itu, amalan memanaskan berulang kali botol polikarbonat boleh menyebabkan larut lesap bersama BPA,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














