PENGALAMAN bertemu sesuatu perkara yang menyeramkan pastinya menjadi satu sejarah hitam dalam diri seseorang dan akan dikenang sampai bila-bila.
Itu yang berlaku kepada seorang pemuda yang ternampak jelmaan pendekar lengkap berpakaian hitam dan bertengkolok merenungnya dengan tajam ketika bekerja di sebuah kilang beberapa tahun lalu.
Tidak terhenti di situ, dia turut diuji ketika mahu pulang ke rumah yang mana basikal yang ditunggangnya terasa berat,seolah-olah di belakangnya ada benda yang menumpang. Selepas itu dia diganggu lagi apabila terjaga dari tidur pukul 3 pagi, jelmaan pendekar yang sama muncul di luar tingkap bilik tidurnya.
——————————————————————————————————————————————————————————————
PENGALAMAN bekerja di kilang membuat produk berasaskan getah selepas tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) beberapa tahun lalu masih berbekas dalam diri seorang usahawan dalam talian, Rizal Zamri,38.
Lelaki bertubuh sederhana yang berasal dari sebuah negeri di Utara itu bekerja selama dua tahun di kilang tersebut.
Namun apa yang hendak diceritakan bukan tentang pengalaman bekerja, tetapi peristiwa seram yang berlaku ketika dia berada di situ.
Menurutnya, semasa baru bekerja di makmal kilang itu, bunyi mesin ujian dan kenderaan lalu lalang di hadapan kilang merupakan perkara normal semasa syif malam.
Namun pada satu malam ceritanya, suasana terasa sepi seolah-olah tiada kenderaan lalu-lalang dan mesin seakan berpakat mematikan fungsinya.
Katanya, ketika dia sedang membuat laporan kerja, tiba-tiba terasa ada sepasang mata memerhati dari luar tingkap makmal.
“Saya melihat kelibat seorang pendekar bertubuh sasa dan bermisai lebat berbusana hitam lengkap bertengkolok memandang tajam tanpa berkelip,” katanya.
Sebagai anak muda yang pernah menuntut ilmu persilatan, Rizal berkata, ujian sedemikian perlu ditempuh dengan keberanian, namun suasana malam itu amat berlainan hingga mencetuskan seram sejuk dan bulu roma di tengkuk mula meremang.
Lantas dia mula membaca ayat Kursi, Surah al-Ikhlas, Surah al-Alaq dan Surah an-Nas bagi memastikan ‘pandangan’ tersebut tidak menampilkan fizikal menakutkan.
Ujarnya, selepas memandang semula ke tingkap, kelibat ‘pendekar’ itu hilang, sebelum saya terasa seram yang amat sangat dan segera berkemas meninggalkan makmal tersebut.
Sesampainya di pos pengawal keselamatan, pengawal yang menjaga pos tersebut menegurnya yang kelam-kabut hendak pulang tepat pada pukul 10.30 malam.
Rizal sekadar memberitahu pengawal keselamatan yang dipanggil Pak Chu itu, dia ingin pulang segera sebab badan terasa hendak demam.

Seterusnya Rizal bercerita, dalam perjalanan keluar dari kawasan kilang sambil mengayuh basikal, gangguan yang dirasakan sudah ‘tinggal’ di kawasan kilang rupanya mengikutnya pulang.
Basikal yang dikayuh katanya, terasa seperti ada yang menumpang di belakang, beratnya umpama membawa seseorang dengan berat 100 kilogram.
“Badan menggeletar menahan rasa gentar tiba-tiba. Peluh merecik satu badan kerana membawa ‘lebihan’ muatan.
“Mulut kumat-kamit membaca ayat Kursi secara tunggang-langgang. Dalam hati terfikir adakah yang menumpang ‘pendekar’ yang sama atau makhluk lain yang lebih menakutkan dan saya tidak berani menoleh ke belakang,” katanya.
Laluan pintas yang digunakan untuk pulang ke rumah jelasnya, agak gelap dan ini menambahkan rasa takut hingga ke tahap maksimum.
Menurut Rizal, sesampainya di rumah dia pun mandi dan menikmati makan malam sebelum masuk tidur.
Anggapannya gangguan tersebut berakhir pada malam itu meleset kerana kira-kira pukul 3 pagi semasa terjaga dari tidur, dia terlihat bayangan setinggi tujuh kaki di luar tingkap cermin.
Bayangan hitam itu kata Rizal, seperti pendekar jelas kelihatan hasil limpahan cahaya daripada rumah ibu saudara bertentangan dengan bilik tidurnya.
Ujarnya lagi, dia menyelubung tubuhnya dengan selimut hingga ke pagi dan merahsiakan perkara tersebut bagi mengelak sebarang spekulasi dan ketakutan kepada keluarga dan pekerja di kilang tersebut.
Apa yang pasti kata Rizal, setelah ditanyakan kepada orang-orang lama di kampungnya, kelibat pendekar tersebut adalah peringatan kepada dirinya untuk menghidupkan ilmu persilatan dipelajari.
Ia katanya, dibuat dengan menyampaikannya kepada orang lain dan bukan menyimpan untuk diri sendiri.
Nasihat tersebut menyebabkan dia banyak berkongsi ilmu persilatan dan ilmu perubatan tradisional dengan generasi muda sejak 18 tahun lalu.
Bukan kerana takut ditenung ‘pendekar’ misteri, tetapi bagi memastikan ilmu persilatan yang dituntutnya tidak hilang begitu sahaja.
















