fbpx

Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan ditubuhkan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (Kiri) bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (kanan).

SEREMBAN – Satu Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan ditubuhkan oleh kerajaan bagi memfokuskan aspek perlindungan kanak-kanak, orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan wanita.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau sendiri telah mempengerusikan jawatankuasa tersebut rentetan daripada kes menimpa anak istimewa yang juga remaja Sindrom Down, Bella berusia 13 tahun yang didakwa didera dan diabaikan sejak tahun 2020.

“Kejadian yang menimpa adik Bella ini merupakan salah satu daripada beberapa kes yang berlaku tetapi tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Jawatankuasa Khas Kabinet ini telah diputuskan dalam mesyuarat pada Rabu lalu bagi memastikan supaya semua pusat jagaan yang beroperasi diurus mengikut prosedur dan peruntukan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat adik Bella di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Seremban di sini.

Dalam lawatan itu, beliau memaklumkan keadaan Bella bertambah baik tiada lagi gangguan emosi sejak ditempatkan di pusat itu pada 5 Julai 2021 dan dilihat semakin berkeyakinan dengan menunjukkan lukisan dihasilkan bersama kanak-kanak lain.

Menurut Ismail, selain isu penjagaan, jawatankuasa itu juga akan meneliti aspek lain seperti dokumentasi iaitu sijil kelahiran dan kad pengenalan bagi memastikan masa depan anak-anak yang menjadi mangsa tidak diabaikan.

“Selain penderaan, ada ibu bapa yang tinggalkan anak-anak tanpa dokumen, bayangkan bagaimana anak-anak ini tanpa sijil kelahiran tidak boleh bersekolah.

“Kadang kala kita lupa ada perkara lebih besar iaitu perkara melibatkan masa depan, jadi jawatankuasa ini akan melihatkan secara keseluruhan bukan sahaja aspek penjagaan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, akta-akta lapuk berkaitan golongan rentan juga akan dipinda supaya mereka mendapat pembelaan sewajarya

“Malah, JKM akan distruktur semula secara keseluruhan supaya dilihat lebih efisyen,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai beberapa kementerian berkaitan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Sehingga kini, terdapat sebanyak 1,898 Pusat Jagaan yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Daripada jumlah itu, sebanyak 1,255 adalah Pusat Jagaan Kanak-Kanak, Pusat Jagaan OKU (202), Pusat Jagaan Warga Emas (383), Pusat Jagaan Wanita (10) dan pelbagai
(48).

“Kerajaan turut mengesan terdapat 1,025 pusat jagaan yang beroperasi tanpa mendapat kelulusan perakuan pendaftaran JKM,” katanya.

Tambah beliau, dalam hal yang sama, Jawatankuasa Khas Kabinet ini juga akan melihat operasi institusi-institusi pengajian agama seperti pusat tahfiz yang tidak berdaftar dan yang tidak diurus dengan baik.

Bagaimanapun, Ismail berkata, dilaporkan terdapat lebih 1,000 buah institusi pengajian agama termasuk pusat-pusat tahfiz tidak berdaftar dengan pihak berkuasa agama Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negeri.

“Kerajaan tidak mahu insiden kebakaran yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua guru di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 14 September 2017, begitu juga dengan kejadian kebakaran di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-
Halimiah, di Kampung Padang Lumut, Yan, Kedah, yang mengorbankan 27 pelajar perempuan pada 1989 berulang semula,” ujar beliau.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kes Bella yang mendapat perhatian netizen, Ismail Sabri berkata, kes anak istimewa itu sedang dibicarakan di mahkamah dan semua pihak perlu menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI