fbpx

Rusuhan bantah provokasi bakar al-Quran kian tegang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rusuhan membantah perbuatan membakar al-Quran oleh Paludan semakin tegang di beberapa bandar di Sweden. - EPA

STOCKHOLM, Sweden – Rusuhan membantah provokasi sebuah gerakan anti Islam yang memasuki hari kelima di beberapa bandar utama di Sweden kini dilaporkan semakin tegang, lapor Badan Penyiaran British (BBC), semalam.

Menurut laporan, rusuhan menjadi semakin tidak terkawal selepas ahli politik sayap kanan Denmark-Sweden, yang juga Ketua Organisasi Stram Kurs, Rasmus Paludan membuat demonstrasi membakar salinan Al-Quran secara terbuka di Linkoping,hujung minggu lalu.

Media tempatan melaporkan tiga orang cedera di bandar timur Norrkoping setakat ini, apabila polis melepaskan tembakan amaran ke arah perusuh.

Beberapa buah kenderaan dibakar dan sekurang-kurangnya 26 orang telah ditahan setakat ini.

Ketua Polis Negara Sweden, Anders Thornberg dalam satu kenyataan berkata, penunjuk perasaan telah menunjukkan sikap acuh tidak acuh terhadap amaran pegawai polis.

 “Kami pernah berdepan dengan rusuhan ganas sebelum ini tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sesuatu yang berbeza dan lebih serius,” kata Thornberg.

Sementara itu, Menteri Kehakiman Sweden, Morgan Johansson memberitahu perusuh untuk pulang ke rumah dengan segera dan menghentikan segala percubaan untuk mengkucar-kacirkan keadaan.

Johansson turut melabelkan Paludan sebagai orang ‘bodoh pelampau’ sayap kanan yang matlamatnya hanya untuk mencetus keganasan dan perpecahan.

“Sweden adalah negara demokrasi dan dalam demokrasi, orang bodoh juga mempunyai kebebasan bersuara, namun jangan terpengaruh dengan hasutannya.

“Mereka yang menyerang polis adalah penjenayah. Tidak ada cara lain untuk menangani kumpulan ini selain daripada menggunakan kekerasan,” tegasnya.

Paludan dipenjarakan selama sebulan pada 2020 kerana kesalahan termasuk berkaitan perkauman di Denmark. Dia juga pernah merancang pembakaran Al-Quran di negara Eropah lain termasuk Perancis dan Belgium. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI