fbpx

Rusia berpotensi letupkan pangkalan senjata NATO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang askar Ukraine menerima penghantaran FGM-148 Javelins, peluru berpandu anti kereta kebal mudah alih yang disediakan oleh Amerika Syarikat ke Ukraine. - AFP

LONDON – Bekas Ketua Keselamatan British, Lord Ricketts memberi amaran bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin mungkin akan menyasarkan serangan ke atas pangkalan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi menghentikan bantuan senjata kepada Ukraine.

Menurut portal berita MailOnline, Ricketts yang juga penasihat keselamatan negara pertama kerajaan berkata, Putin kini semakin terdesak untuk menyekat aliran senjata ke Ukraine.

Disebabkan itu, tidak mustahil bagi beliau untuk mengarahkan askarnya menyerang pesawat atau konvoi yang memunggah senjata dari pangkalan NATO ke Ukraine.

“Melihatkan situasi semasa, saya khuatir ia menuju ke arah jalan buntu yang akan mendorong Rusia untuk menakluk sebahagian besar Ukraine.

“Sementara Ukraine pula tidak akan pernah bersetuju dengan syarat pelepasan yang dituntut Rusia,” ujar Ricketts.

Selain itu, Ricketts juga memberi amaran bahawa konflik tersebut boleh berterusan sehingga bertahun-tahun dan menjadi perang gerila sebelum akhirnya menjadi ‘luka terbuka’ di tengah-tengah Eropah.

Ricketts juga meluahkan kebimbangan bahawa Putin tidak akan teragak-agak untuk menggunakan senjata nuklear jika itu yang diperlukan untuk memastikan bantuan senjata tidak sampai ke tangan askar Ukraine.

“Bahkan, mungkin dalam situasi paling dahsyat, satu serangan peluru berpandu akan dilaksanakan ke atas pangkalan di NATO, di mana senjata untuk Ukraine sedang disediakan.

“Ini akan menimbulkan dilema dalam kalangan negara anggota NATO sama ada mahu terus menyokong Ukraine dengan pembekalan senjata,” jelasnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI