fbpx

Ekonomi global berisiko terjejas akibat perintah berkurung Shanghai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUKARELAWAN memeriksa sayur-sayuran untuk diedarkan kepada penduduk di sebuah kawasan perumahan di daerah Pudong, Shanghai, 15 April lalu. - AFP

BEIJING – Penganalisis memberi amaran bahawa pelaksanaan perintah berkurung yang berterusan di bandar raya Shanghai akibat Covid-19 mencetuskan kebimbangan terhadap krisis ekonomi global, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Arahan perintah berkurung yang seolah-olah tiada berpenghujung di bandar dengan 25 juta penduduk itu dilihat amat berisiko memandangkan kedudukan Shanghai sebagai satu daripada hab pembuatan dan eksport utama China.

“Pasaran global mungkin mengambil remeh akan impak daripada perintah berkurung di Shanghai.

“Ini kerana terlalu banyak perhatian diberi kepada konflik Rusia-Ukraine dan peningkatan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS),” kata Ketua Penganalisis Ekonomi dari Nomura, Lu Ting dalam satu nota kajian minggu lalu.

Arahan perintah berkurung di Shanghai telah mencetuskan masalah kekurangan bekalan makanan serta kesukaran mendapatkan akses penjagaan kesihatan.

Pelabuhan Shanghai yang kebiasaannya mengendalikan lebih 20 peratus daripada trafik kargo China pada 2021, kini dihentikan operasi sepenuhnya. 

Bekalan makanan yang terkandas di dalam kontena-kontena kapal tanpa disimpan di dalam kemudahan sejuk beku pula dilaporkan rosak.

Kargo-kargo yang baru tiba turut terkandas di terminal marin Shanghai selama purata lapan hari sebelum ia diangkut ke lokasi-lokasi lain. Ia merupakan peningkatan 75 peratus sejak fasa baharu perintah berkurung bermula baru-baru ini.

Selain itu, pesawat-pesawat kargo turut membatalkan penerbangan masuk dan keluar dari bandar Shanghai, selain lebih 90 peratus daripada lori yang digunakan dalam aktiviti import dan eksport turut tidak beroperasi.

Menurut laporan tahunan statistik pemerintah bagi tahun 2021, Shanghai menghasilkan enam peratus daripada eksport China. Justeru, penutupan kilang-kilang di sekitar bandar raya itu akan mengganggu rantaian bekalan.

Sementara itu, Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China pada Jumaat lalu berkata, ia telah menghantar pasukan gerakan ke Shanghai untuk melaksanakan pelan-pelan bagi menyambung pengeluaran di perusahaan-perusahaan utama bandar tersebut. 

“Kesan keadaan ini kepada China adalah besar yang seterusnya memberi kesan signifikan kepada ekonomi global. 

“Saya menjangkakan kita akan berdepan dengan keadaan tidak menentu serta gangguan dalam sektor sosial dan ekonomi untuk sekurang-kurangnya enam bulan akan datang,” kata Ketua Amalan bagi China dan Asia Timur Laut Eurasia Group, Michael Hirson.

Hampir 400 juta penduduk di 45 buah bandar di China kini berada dalam perintah berkurung sebagai sebahagian daripada dasar sifar Covid yang dilaksanakan pemerintah. 

Ia bersamaan dengan 40 peratus atau AS$7.2 trilion (RM30.58 trilion) daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negara ekonomi kedua terbesar dunia itu, demikian menurut data Nomura. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI